Oleh: Nur Alia Zahirah Zainon Hamzah Tai
Tanjong Malim, 20 Jun 2025 – FPM Fest 2025 kini kembali dengan lebih bersederhana namun memberi impak yang tinggi untuk semua.
FPM Fest merupakan satu program anjuran Fakulti Pembangunan Manusia dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar, yang dilihat sebagai platform untuk memberikan pelbagai pengalaman dan pengetahuan terutamanya dalam bidang keusahawanan dan pengurusan untuk mahasiswa UPSI khusunya Fakulti Pembagunan Manusia (FPM).
Dalam masa yang sama, FPM Fest juga secara tidak langsung boleh memupuk hubungan yang lebih erat antara pensyarah serta kakitangan dalam fakulti.
Pelaksanaan program ini boleh mendedahkan mahasiswa melalui ilmu tentang keusahawanan dalam diri mahasiswa FPM serta menarik minat dalam bidang keusahawanan.
Program ini juga dapat menambahkan pengalaman dan pengetahuan di samping menggalakkan semangat kesukanan, kesejahteraan antara staff kakitangan fakulti dan mahasiswa.



Secara tidak langsung, penglibatan yang diberikan akan mengembangkan bakat kepimpinan mahasiswa.
Menurut Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Prof. Madya Dr. Abdul Talib Bin Mohamed Hashim, FPM Fest bukan sekadar sebuah program tahunan, tetapi medan penting untuk melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan.
“FPM Fest adalah cerminan kepada semangat warga FPM yang sentiasa dinamik, kreatif dan proaktif. Saya percaya program seperti ini mampu mengasah potensi mahasiswa serta memperkukuh nilai insaniah yang menjadi teras pendidikan di UPSI,” ujar beliau semasa menyempurnakan majlis perasmian.
Memetik ucapan Pengarah program, Muhammad Nur Fattah Mohd Shamseruddin telah menyampaikan penghargaan yang mendalam kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran program dalam suasana yang penuh ketenangan dan penghayatan.
Dalam ucapannya, beliau menyentuh tentang semangat solidariti dan kasih sayang yang menjadi nadi utama FPM Fest pada tahun ini.
“Tahun ini, FPM Fest dibawakan dalam nuansa yang jauh berbeza. Kami tidak meraikannya dengan kemeriahan seperti tahun sebelumnya. Sebaliknya, kami memilih untuk menjadikan program ini sebagai satu ruang penghormatan dan kenangan buat rakan
rakan mahasiswa yang telah pergi meninggalkan kita dalam tragedi yang menyentuh hati seluruh warga UPSI.”
Dia menegaskan bahawa semangat penganjuran tidak pernah luntur, malah ia menjadi lebih bermakna apabila dilandasi oleh nilai kebersamaan dan empati.
“Kami berdiri bersama dalam kehilangan ini. Setiap langkah program dirangka dengan penuh rasa tanggungjawab dan menjaga sensitiviti, agar FPM Fest tahun ini menjadi simbol kasih sayang dan penghargaan kami terhadap mereka yang telah pergi.”
Akhir ucapannya, beliau menyeru agar seluruh warga FPM terus menguatkan semangat, menyokong satu sama lain, dan menjadikan peristiwa ini sebagai titik muhasabah untuk lebih menghargai kehidupan, persahabatan dan perjuangan menuntut ilmu.
Sepanjang FPM Fest 2025 yang berlangsung selama tiga hari, pelbagai aktiviti telah disusun bagi memberi manfaat dan pendedahan kepada para pelajar. Antara pengisian utama termasuklah Jogathon, Forum Psikologi, ceramah berkaitan penipuan scammer, dan sesi Public Speaking yang membina keyakinan diri.
Selain itu, terdapat juga ceramah psikologi, pameran flora-ekonomi, aktiviti FloraKonomi, dan SPEDmazing yang mengetengahkan aspek pendidikan khas.



Peserta turut berpeluang mengikuti Talk Kaunseling Penyakit & Forum Kesihatan, tayangan filem ‘Lights Off Movie On!!’, serta aktiviti menarik seperti Fun & Play The Kiddie Way, Feel, Express, Connect!! dan UPSI Mind War.
Tidak ketinggalan, pameran Psikologi Abnormal, Projek Khas KBK dan deretan gerai pameran serta foodtruck yang memeriahkan perkarangan sepanjang program ini berlangsung.
Pelaksanaan ini bukan sekadar suatu program rutin, tetapi cerminan ketabahan dan kematangan warga Fakulti Pembangunan Manusia dalam menguruskan emosi dan menyantuni duka yang menyelubungi universiti.
Dalam ruang sederhana tanpa riuh hiburan, terselit nilai empati, kasih sayang dan solidariti yang menyatukan semua lapisan komuniti FPM.
FPM Fest 2025 menjadi bukti bahawa dalam kehilangan, masih ada kekuatan; dalam kesunyian, masih ada suara kebersamaan. Semoga semangat ini terus mekar dan menginspirasi warga universiti untuk sentiasa berpijak pada nilai kemanusiaan, meskipun berdepan ujian yang menyentuh jiwa.

