Oleh: Mahasiswa Kelab Istimewa UPSI

Tanjung Malim, 25 Jun 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjadi tuan rumah bagi penganjuran program MyKESUMA JobsCareer LaunchPad OKU, yang bertempat di Bilik Seminar Aminuddin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM).

Program ini merupakan inisiatif kolaboratif antara Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Majlis Belia OKU Malaysia (MBOKU), PERKESO, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Jabatan Pendidikan Khas, CIRCLE dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Dirangka sebagai medan penghubung antara golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan peluang kerjaya terbuka, program ini menghimpunkan pelbagai agensi, industri dan mahasiswa dalam satu usaha menyeluruh bagi memperkukuh kebolehpasaran serta pembangunan modal insan OKU.

Seramai 30 orang mahasiswa UPSI turut tampil sebagai penggerak utama dalam menjayakan program ini. Antara objektif utama program ini adalah untuk menyediakan platform latihan kemahiran, bimbingan kerjaya serta peluang kerjaya untuk pelajar OKU.

Di samping itu, program ini turut berperanan meningkatkan kesedaran komuniti dan pihak industri terhadap kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang inklusif serta mesra OKU.

Ucapan alu-aluan oleh Dr. Nor Mashitah Mohd Radzi, iaitu Timbalan Dekan (Jaringan dan Pengkormesilan) Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI xxx (Beliau menekankan betapa pentingnya pendidikan dan peluang inklusif untuk semua, sejajar dengan aspirasi UPSI.

Majlis disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh YBrs. Puan Grace A/P Dairiam, Timbalan Setiausaha, Bahagian Dasar Perburuhan, Kementerian Sumber Manusia.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa KESUMA komited dalam merapatkan jurang peluang pekerjaan antara golongan OKU dan pihak industri melalui platform seperti MyKESUMA.

Beliau turut menyeru agar majikan membuka ruang yang lebih luas terhadap bakat golongan ini yang terbukti mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.

Antara pengisian utama program ialah Meet the Industry yang menyaksikan perkongsian daripada Encik Eddy Lee, HR Executive di Kentucky Dairy & Ice Cream Sdn. Bhd dan Encik Mohd Izham Ahmad, Pegawai Tadbir N9 dari Majlis Daerah Kampar serta taklimat daripada SPA dan PERKESO berkaitan penempatan pekerjaan, kebolehpasaran dan kemudahan sokongan bagi golongan OKU.

Program diteruskan dengan sesi bimbingan daripada PERKESO yang merangkumi Taklimat Jaringan Keselamatan Sosial, sokongan penempatan pekerjaan OKU serta pengenalan kepada portal MYFutureJobs and Labour Market Exchange.

Dalam sesi ini juga, peserta terlibat dalam aktiviti ‘ice breaking’ yang membantu mereka mengenal pasti kekuatan diri, memahami batasan serta keperluan sokongan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Nilai tambah program ini terletak pada pelaksanaan modul hands-on seperti sesi penyediaan resume profesional, simulasi temuduga dan taklimat Upskilling untuk meningkatkan keyakinan dan kebolehpasaran dalam kalangan peserta OKU.

Sesi-sesi ini bukan sahaja membimbing dari sudut teknikal, tetapi juga memberikan pendedahan mendalam tentang strategi persediaan memasuki dunia kerjaya sebenar.

Secara keseluruhan, MyKESUMA JobsCareer LaunchPad OKU membuktikan bahawa apabila pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan komuniti berganding bahu, satu ruang perubahan yang besar mampu dibuka.

Bukan sekadar dari aspek peluang kerjaya, tetapi juga dalam membina masyarakat yang lebih peka dan inklusif. Diharapkan usaha ini dapat diteruskan secara berterusan demi memastikan golongan OKU tidak tertinggal dalam arus pembangunan negara yang pesat dan kompetitf.

Program ini telah berjaya menjadi medium yang mempertemukan aspirasi dan realiti, di mana semangat mereka dapat dizahirkan melalui usaha konkrit dalam menyediakan ruang dan peluang kepada golongan OKU untuk melangkah ke alam pekerjaan dengan lebih yakin dan bersedia.

Ia bukan sekadar satu program kerjaya, tetapi suatu gerakan yang mengangkat martabat insan, membina jalinan kerjasama pelbagai pihak, dan mencerminkan keprihatinan sebuah universiti.

Diharapkan agar inisiatif seperti ini menjadi rujukan dan inspirasi untuk penganjuran lebih banyak program berimpak tinggi pada masa akan datang, demi sebuah Malaysia yang benar-benar inklusif, adil dan berdaya saing untuk semua lapisan masyarakat.