Oleh: Mohamad Farid Amri

Petaling Jaya, 10 Jun 2025 – Dalam denyut nafas kecemasan, di mana harapan berbaur gentar, wujud sepasukan wira berkaki empat yang menjadi nadi penyelamatan negara. Program “Kemahiran Mengendalikan Kepuasan Pelanggan Dengan Berkesan Semasa Krisis Dan Kecemasan Bersama Unit Pengesan K9” membuka peluang kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk merungkai rahsia keberanian dan ketulusan pasukan penyelamat, bertempat di Unit Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Petaling Jaya.

Anjuran di bawah Kursus KSR3203 Hubungan Interpersonel bagi Kumpulan A, dengan pimpinan Profesor Madya Dr. Nurul ‘Ain Hidayah binti Abas, program ini membawa peserta menelusuri perjuangan anggota bomba bersama anjing pengesan, yang bukan hanya menjadi penyambung nyawa, malah menjadi perantara harapan di saat getir.

Dalam sesi ceramah mengenai peranan Ahli Bomba Unit Anjing Pengesan K9, Penolong Kanan Penguasa Bomba Unit Anjing Pengesan K9, Tuan Pramnath a/l Hariskisna, berkata “Unit ini berbeza dengan unit bomba yang lain kerana unit ini memainkan peranan penting dalam situasi berisiko tinggi, darurat dan kecemasan seperti tanah runtuh dan mengesan mangsa lemas”. Bukan itu sahaja, Tuan Pramnath a/l Hariskisna berkata lagi “pelanggan kami bukannya datang daripada aduan orang awam, tetapi daripada unit bomba dan penyelamat Malaysia sendiri”. Unit ini merupakan satu pasukan bantuan khas yang berfokuskan kepada mengesan bukti kebakaran dan mencari mangsa di dalam air mahupun di dalam situasi tanah runtuh.

Menurut Tuan Pramnath a/l Hariskisna, pegawai bomba yang berpengalaman luas, anjing pengesan K9 berperanan sebagai mata, telinga, dan hati pasukan penyelamat dalam merungkai jejak mangsa, di tengah runtuhan dan asap yang membutakan pandangan. Kecekapan mereka mempercepat operasi mencari dan menyelamat, sekaligus meredakan keresahan pelanggan yang menanti khabar insan tersayang. “Kepercayaan masyarakat pada kami bergantung kepada profesionalisme dan kasih sayang yang kami bawa, termasuklah melalui sahabat setia kami, anjing pengesan K9,” ujar beliau penuh bangga.

Pelajar UPSI berpeluang menyaksikan sendiri demonstrasi mendebarkan apabila anjing pengesan berbaka Labrador membantu pasukan K9 mengesan mangsa dalam simulasi kecemasan. Kecekapan dan kepantasan anjing ini jelas memberi harapan kepada mangsa dan keluarga mereka. Sepanjang demonstrasi, anggota bomba turut menerangkan dengan jelas bagaimana mereka berkomunikasi dengan penuh empati dan profesionalisme, supaya orang ramai berasa tenang dan yakin walaupun berdepan situasi gentin.

Program ini menutup tirainya dengan membakar semangat peserta untuk mengangkat nilai keberanian dan kemanusiaan, sebagaimana ditunjukkan oleh Unit Pengesan K9 dan pasukan bomba yang tidak pernah gentar berhadapan api mahupun derita manusia. Ilmu dan inspirasi yang dibawa pulang hari ini menjadi obor perjuangan, agar mereka kelak mampu berdiri gagah menegakkan prinsip profesionalisme dan belas ihsan, biarpun dunia dilanda gelora.