Oleh: Dr. Vestly Kong Liang dan Fatin Azimah Mohd Hair
Tanjong Malim, UPSI 18 Jun 2025 – Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK) telah menganjurkan program FPM FEST SpEd-mazing yang bertempat di Makmal Braille, Blok 8, Kampus Sultan Azlan Shah. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Fakulti Pembangunan Manusia sebagai inisiatif meningkatkan pengetahuan dan kesedaran inklusif dalam kalangan warga universiti yang telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Talib bin Mohamed Hashim.

Program berkenaan memberi fokus kepada pendedahan asas kod tangan dan tulisan kod Braille yang merupakan dua kemahiran penting dalam dunia pendidikan khas. Sepanjang berlangsungnya program, para peserta didedahkan dengan aktiviti interaktif seperti pembelajaran asas komunikasi tangan serta penghasilan penanda buku tulisan kod Braille, yang bukan sahaja merangsang kreativiti tetapi juga memperkukuh pemahaman terhadap cabaran komunikasi yang dihadapi oleh individu kelainan upaya.
Kegiatan sebegini dapat memperkasakan mahasiswa dari segi empati sosial dan kemahiran insaniah, selari dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) 10: Reduced Inequalities. Melalui pendekatan yang bersifat praktikal dan menyeluruh, mahasiswa bukan sahaja belajar teori tetapi turut menyelami realiti komuniti pendidikan khas.

Kehadiran mahasiswa-mahasiswi dari pelbagai jurusan UPSI yang mengambil bahagian atau hadir sebagai pengunjung menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pendidikan inklusif dan kesedaran sosial. Suasana sepanjang hari penuh dengan semangat pembelajaran, interaksi mesra dan keterbukaan untuk memahami perbezaan secara positif.

Menurut pengarah Program SpEd-mazing Fatin Azimah binti Mohd Hair menyatakan bahawa melalui aktiviti ini, mahasiswa dapat meneroka kreativiti mereka dengan lebih mendalam serta mendukung usaha pembangunan sahsiah yang seimbang. “Kami berharap agar program seperti ini akan terus dijadikan acara tahunan yang mampu menyemai nilai inklusiviti dan memperkuat hubungan antara warga fakulti,” tambahnya.
