Gombak, 14 Jun 2025 – Ancaman siber bukan lagi isu asing dalam dunia digital hari ini.
Menyedari kepentingan pendidikan awal berkaitan keselamatan siber, Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Malaysia Cybertech (MCT), telah menganjurkan
program bertajuk Cyberwarriors: Hack or Protect? yang berlangsung di SMK Gombak Setia
pada 14 Jun 2025.

Program ini merupakan satu inisiatif di bawah pelaksanaan kursus DSC2013 Cybersecurity
Awareness, yang berfokus kepada pendekatan pendidikan komuniti secara berimpak tinggi.
Seramai 41 orang pelajar tingkatan 3, 4 dan 5 dari aliran sains komputer telah terlibat dalam
program tersebut sebagai peserta utama.
Program ini menampilkan dua penceramah dari Malaysia Cybertech, Nurul Nafisah Maisarah
dan Izzat Hamizan, menerusi ceramah bertajuk “Personal Secrets, Digital Trust.” Sesi ini
memberi pendedahan tentang keselamatan maklumat, jenayah siber dan peranan individu
sama ada sebagai ‘hacker’ atau ‘protector’. Ceramah turut diselitkan dengan kuiz interaktif
dan hadiah menarik bagi menguji kefahaman serta meningkatkan minat pelajar terhadap isu
keselamatan digital.

Selain ceramah, program turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti interaktif bertemakan
keselamatan digital seperti Cyber Maze, Capture the Flag dan Cyber Escape Room. Aktiviti-
aktiviti ini direka untuk menguji kecekapan pelajar dalam menyelesaikan cabaran berkaitan
serangan siber, pemikiran kritis serta strategi pertahanan digital dalam suasana yang
menyeronokkan dan berdaya saing. Pendekatan gamifikasi ini berjaya menarik penglibatan
aktif peserta dan memberi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna.
Pelaksanaan program ini mendapat sambutan yang amat positif daripada pihak guru dan
pelajar SMK Gombak Setia. Mereka menyifatkan kandungan program bukan sahaja bersifat
semasa dan relevan, malah memberikan pendedahan secara langsung terhadap realiti
cabaran keselamatan dalam dunia digital hari ini. Program ini juga berjaya membina
kesedaran dalam kalangan pelajar tentang pentingnya menjadi pengguna teknologi yang bijak
dan bertanggungjawab.

Sokongan dan penajaan daripada pelbagai pihak seperti Datuk Lo Su Fui, Ahli Parlimen P.190
Tawau, MyT, Vida Beauty, Rotinas, Jantzen, Victory Karaoke dan SAA Simulator Enterprise
turut memperkukuh pelaksanaan inisiatif ini. Kerjasama rentas sektor tersebut mencerminkan
komitmen aktif pihak industri dalam mendukung usaha memperkasakan pendidikan digital
dalam kalangan generasi muda.

Program “Cyberwarriors: Hack or Protect?” diharap menjadi titik tolak kepada lebih banyak
inisiatif kesedaran siber di peringkat sekolah. Pihak penganjur turut menyatakan hasrat untuk
meneruskan program seumpama ini di sekolah lain sebagai usaha berterusan membina
literasi digital dalam kalangan generasi muda.
