Semarang, Indonesia, 19 Jun 2025 – Usaha memperkukuh profesionalisme pendidik melalui amalan penyelidikan terus diperkasa apabila delegasi dari Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Persidangan Antarabangsa ICONTESS (International Conference on Education Technology and Social Sciences) yang berlangsung di Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA), Semarang, Indonesia.

Persidangan berprestij ini menyatukan ahli akademik dan pendidik dari pelbagai negara. Penceramah Jemputan terdiri daripada  Profesor Madya Dr. Norazilawati Abdullah (Malaysia), Profesor Dr. Salamah Daud (Egypt), Profesor Madya Dr. Dr Fatih Yavuz (Turkey) dan Profesor Dr Rosmitadilla (Indonesia) dalam platform ilmu yang memfokuskan kepada kelestarian pendidikan menerusi inovasi pengajaran dan penyelidikan.

Menurut Dr. Norazilawati, penyertaan dalam ICONTESS bukan sahaja memperkukuh keupayaan penyelidikan dalam kalangan guru dan pendidik, malah membuka ruang jaringan kolaborasi serantau. ”Penyelidikan dalam pendidikan  menuntut penyelidik berfikir secara inovatif dan bertindak secara reflektif,” ujar beliau.

Sempena program ini, perkongsian ilmu dan amalan penyelidikan turut dijalankan bersama mahasiswa pendidikan dari Universitas Muhammadiyah Gresik, Indonesia. Forum dua hala ini menekankan aspek pemerkasaan guru melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek, penyelesaian masalah, dan integrasi teknologi dalam pengajaran STEM.

Lebih membanggakan, kerjasama akademik turut dimeterai bersama dua organisasi pendidikan Indonesia, iaitu APENDENSI (Asosiasi Doktor Pendidikan dasar  Indonesia) dan PADISDA (Perkumpulan Ahli Edukasi Sekolah Dasar Indonesia) bagi memperluas usaha kolaborasi penyelidikan, penerbitan ilmiah serta pertukaran kepakaran dalam bidang pendidikan.

Profesor Madya Dr. Siti Rahaimah Ali menegaskan bahawa wacana rentas sempadan seperti ini mampu menjadi platform terbaik untuk melahirkan guru yang bukan sahaja mahir dalam pedagogi, malah cekap dalam penyelidikan serta bersedia menjadi agen perubahan dalam pendidikan abad ke-21.

“Gabungan STEM dan penyelidikan pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk sistem pendidikan yang adaptif dan lestari. Kita perlu mendidik guru sebagai pemikir dan inovator,” katanya lagi. Kerjasama ini menandakan komitmen berterusan UPSI untuk mengangkat martabat pendidikan guru ke peringkat global, seiring dengan matlamat membentuk pendidik profesional yang berdaya saing, beretika dan berjiwa pendidik sejati.