Oleh: Dr. Ijlal Mohd Diah, Dr. Nurihan Nasir dan Muhammad Noh Rozali.
Kuala Selangor, 15 Jun 2025 – Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) dan Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) melalui Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima mandat jemputan untuk bersama-sama menjayakan program Math & Science Adventure : Daripada Teori kepada Realiti yang berlangsung pada 13 sehingga 15 Jun 2025 bertempat Kolej Vokasional di Kuala Selangor, Bestari Jaya, Selangor.
Program Math & Science Adventure : Daripada Teori kepada Realiti ini merupakan suatu inisiatif untuk memperkukuh pemahaman dan menarik minat pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik bagi Semester Satu Kohort 2025 Kolej Vokasional Kuala Selangor (KVKS).
Program ini juga selaras dengan objektif FSM untuk menyumbang kepada komuniti melalui khidmat masyarakat dalam usaha meningkatkan prestasi akademik di peringkat sekolah menengah.

Kuala Selangor (KVKS)


Kerjasama ini bertujuan mengoptimumkan kepakaran pensyarah dan mahasiswa/i Jabatan Sains dan Matematik UPSI untuk memberi pendedahan dan bimbingan yang mendalam kepada pelajar.
Program Math & Science Adventure : Daripada Teori kepada Realiti ini dirancang sebagai inisiatif untuk menarik minat pelajar KVKS terhadap subjek STEM melalui aktiviti interaktif dan aplikasi praktikal yang lebih santai tetapi sampai.
Pelbagai aktiviti yang melibatkan konsep matematik dan sains telah disediakan. Aktiviti dilaksanakan mampu menarik minat serta menambah pengetahuan pelajar dalam pelajaran Sains dan Matematik sama ada dengan menjalankan eksperimen mahupun menyelesaikan soalan matematik.
Melalui program yang dijalankan selama tiga hari dua malam ini, seramai 130 orang pelajar yang terdiri daripada Semester Satu telah menjalani aktiviti yang melibatkan STEM. Program ini mengandungi lima slot yang melibatkan STEM.
Setiap slot yang dijalankan mengandungi pelbagai pengetahuan yang baharu kepada pelajar iaitu mereka diberi peluang untuk menjalankan eksperimen dan juga saling membantu sesama ahli kumpulan untuk menyiapkan aktiviti bagi setiap checkpoint.
Bagi slot yang terakhir iaitu STEM Market City, pelajar dibahagikan kepada kumpulan yang lebih kecil dan mereka perlu menjawab soalan bagi setiap gerai mengikut tiga tahap iaitu Tahap Rendah, Tahap Sederhana dan Tahap Tinggi.



Setiap tahap mengukur aspek kognitif yang berbeza. Dalam aktiviti ini juga, pelajar yang mahir dalam Sains dan Matematik juga dapat saling membantu dan berkongsi pengetahuan dengan pelajar yang kurang mahir.
Program Math & Science Adventure: Daripada Teori kepada Realiti direka melalui pendekatan yang sistematik dan berstruktur untuk memastikan setiap aktiviti pembelajaran selaras dengan objektif penguasaan STEM.
Melalui pelbagai aktiviti hands-on, eksperimen dan projek berkumpulan, pelajar dapat mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam bilik darjah kepada situasi dunia sebenar.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu memperkukuh pemahaman mereka terhadap konsep sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, tetapi juga menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif.
Di samping itu, penglibatan dalam aktiviti berkumpulan membolehkan pelajar memupuk kemahiran komunikasi, sosialisasi dan kepemimpinan, sekali gus membina keyakinan diri dan memperkaya pengalaman pembelajaran secara holistik.

