Oleh : Fauzi Basri
TANJONG MALIM, 14 Jun 2025 – Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi saksi perhimpunan mahasiswa penuh semangat dan idealisme dalam menjayakan Perkampungan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) Peringkat Negeri Perak Tahun 2025.
Program yang diadakan dari jam 8 pagi hingga 1 petang ini menghimpunkan pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negeri Perak, dengan UPSI buat julung kalinya diberi penghormatan sebagai tuan rumah penganjuran.
Majlis ini dirasmikan oleh Pengarah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, Dato’ TPj Ahmad Sabri Mohamed.

hadir bagi merasmikan program Perkampungan AMAR Tahun 2025 yang bertempat di UPSI

beramah mesra bersama para peserta program yang hadir dari IPT serata Negeri Perak

kepada para peserta Perkampungan AMAR Negeri Perak tahun 2025
Dalam ucapannya, beliau menyatakan hasrat SPRM Negeri Perak untuk menjadikan penubuhan AMAR sebagai salah satu komponen dalam pelaksanaan Darul Ridzuan Integrity Champion (DRIC).
Inisiatif DRIC ini merupakan program pengiktirafan kepada agensi dan organisasi yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan pengurusan berteraskan integriti.
AMAR, jelas beliau, berpotensi menjadi unit penggerak utama dalam menyampaikan mesej integriti kepada masyarakat melalui penglibatan langsung mahasiswa/i IPT.

program perkampungan AMAR Perak 2025

program perkampungan AMAR Perak 2025

semasa perasmian program Perkampungan AMAR Negeri Perak tahun 2025
Beliau menyatakan bahawa pendekatan penyampaian mesej integriti pada masa kini perlu lebih kreatif dan mengikut arus semasa, termasuk menerusi pelbagai cabang seperti kebudayaan, seni persembahan, syair, seni perfileman, sukan dan sebagainya supaya tidak lagi hanya tertumpu kepada forum dan ceramah semata-mata.
Program ini turut diserikan dengan pelbagai pengisian bermakna, antaranya slot ceramah yang disampaikan oleh Tuan Huzairi Azmer, Pegawai Pendidikan Masyarakat SPRM Perak mengenai “Fungsi AMAR dan Kesalahan Lazim ASPRM 2009”. Selain itu, aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang melibatkan pembentangan kajian kes oleh peserta juga menjadi medan pengukuhan ilmu dan kemahiran insaniah.

telah menyampaikan Syair Integriti semasa acara perasmian program

memberikan ucapan bagi mewakili YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor UPSI

Majlis perasmian yang berlangsung penuh semangat patriotik dan kebudayaan dimulakan dengan lafaz ikrar rukun negara yang dipimpin oleh Saudara Alif Ashraf Bin Aini, Naib Presiden 1 AMAR UPSI. Diteruskan lagi dengan persembahan syair yang bertajuk “Nur Integriti, Luka Rasuah” disampaikan dengan penuh penghayatan oleh saudara Muhammad Imran Bin Abdullaah, pelajar Sarjana Muda Seni Persembahan Teater UPSI.
Puan Salwati Binti Mohd Aris, Penasihat Undang-Undang UPSI, mewakili Naib Canselor UPSI YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff, turut menyampaikan ucapan aluan, menzahirkan komitmen universiti dalam menyemai budaya integriti di kalangan warga kampus.
Program ini juga menyaksikan simbol solidariti dan keprihatinan apabila SPRM Perak menyampaikan sumbangan ikhlas kepada mangsa tragedi kemalangan bas UPSI yang berlaku pada 9 Jun 2025 lalu. Sumbangan tersebut diterima oleh Puan Salwati sebagai wakil universiti.

peringkat Negeri Perak, tahun 2025

peringkat Negeri Perak, tahun 2025
Sebagai penutup, para peserta dan wakil IPT yang hadir menerima cenderahati penghargaan, diikuti penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan poster dan anugerah-anugerah khas sebagai pengiktirafan atas komitmen mereka sepanjang keterlibatan semasa penganjuran program.
Antara IPT serata Negeri Perak yang mempunyai penubuhan AMAR :
- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim
- Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar
- Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP)
- Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET)
- Institut Pendidikan Guru (IPG), Hulu Kinta
- Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Lenggong
- Kolej Profesional MARA (KPM), Seri Iskandar
- Institut Kemahiran MARA (IKM), Lumut
- Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Ipoh
Program tahunan ini bukan sahaja menjadi wadah pemerkasaan mahasiswa, malah berperanan besar dalam membina jaringan kolaboratif antara SPRM dan IPT didalam Negeri Perak ke arah negara yang bebas rasuah dan lestari.

Antara Penerima anugerah/ wakil IPT yang hadir di Perkampungan AMAR
peringkat Negeri Perak, tahun 2025
Terima kasih dan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan Ahli Jawatankuasa pelaksana program, AMAR IPT serta semua pegawai SPRM Negeri Perak dan Unit Integriti UPSI yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Komitmen dan kerjasama padu daripada semua pihak telah menjayakan program ini dengan cemerlang dan penuh bermakna.

