Pn. Noraini bt Sapuan bersama presiden AMAR UPSI bergambar bersama-sama AJK pelaksana programPn. Noraini bt Sapuan bersama presiden AMAR UPSI bergambar bersama-sama AJK pelaksana program

Oleh: Fauzi Basri

Tanjong Malim, 14 Jun 2025 – Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi menjadi saksi kepada satu lagi inisiatif intelektual dan seni yang mengangkat suara mahasiswa dalam memperjuangkan nilai integriti dan penolakan rasuah menerusi penganjuran Simposium Nada Integriti 2025.

Program anjuran EXCO kesenian & kebudayaan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) UPSI ini bukan sekadar wacana ilmu, malah turut mengetengahkan warisan budaya Melayu melalui nada seni suara seperti syair, sajak dan pantun dengan mesej integriti disulam indah dalam setiap persembahan.

Noor Asmaani Che Bakar pengarah program Simposium Nada Intergriti,
memberikan ucapan aluan yang bertempat di Dewan SITC, KSAJS
Pn. Noraini bt Sapuan, penasihat Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) UPSI
hadir merasmikan program Simposium Nada Integriti anjuran EXCO Kesenian & Kebudayaan
Putra Danish Fahmi, menyampaikan bait-bait sajak sepanjang berlangsungnya
program yang bertempat di Dewan SITC, KSAJS

Menariknya, acara yang berlangsung selama dua hari ini dimulakan dengan Pertandingan Kuiz “Pentas Ilmu” pada 13 Jun 2025, yang membuka tirai simposium dengan penglibatan mahasiswa-mahasiswi dari pelbagai fakulti.

Kemuncak acara pada 14 Jun menyaksikan pentas berprestij tersebut diserikan dengan persembahan puitis yang menyentuh nurani:

“Lafaz Nurani, Citra Integriti”, sebuah persembahan sajak menggugah jiwa oleh Nik Nur Syahirah Amni binti Nik Hasbullah dan Putra Danish Fahmi bin Kartolan.

Penyampaian sajak integriti “ Lafaz Nurani, Citra Integriti” oleh Nik Nur Syahirah Amni
semasa berlangsungnya Simposium Nada Integriti pada 14 jun 2025
Amirul Hakim Suris, menyampaikan syair bertajuk “ Syair Di Hujung Kalam”
semasa berlangsungnya program yang bertempat di Dewan SITC, KSAJS
Para Peserta Persembahan yang terlibat dalam menjayakan
program Simposium Nada Integriti anjuran EXCO Kesenian & Kebudayaan AMAR UPSI

“Syair Di Hujung Kalam”, karya yang penuh falsafah dan rasa, dipersembahkan oleh penyair karismatik Amirul Hakim bin Suris.

“Gemala Kata, Warisan Bangsa”, persembahan pantun gandingan yang mencerminkan semangat warisan dan amanah bangsa oleh Nur Afiqah Ramli dan Fersha Farazzy.

“Irama Tradisi, Gemersik Jiwa” dendangan nyanyian irama melayu oleh  Muhamad Shahril

Selain persembahan seni, para pemenang pertandingan kuiz turut diraikan dalam majlis penyampaian hadiah sebagai tanda penghargaan atas kecemerlangan ilmu dan kefahaman terhadap nilai integriti.

Menambahkan lagi impak kepada simposium ini, tayangan video dokumentasi khas “Tebuk PBAKL” turut dilancarkan, hasil usaha jawatankuasa program yang turun padang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Dokumentasi ini merakam suara masyarakat berkenaan integriti dan isu rasuah, sekaligus menjadi medan mahasiswa menelusuri denyut nadi rakyat. Turut tampil dalam dokumentari ini ialah influencer Iddin Ramli yang menyampaikan pandangan bernas melalui rakaman khas buat tatapan umum.

Pengarah program, Asmaani Che Bakar, dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program:

“Terima kasih diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa program, rakan kolaborasi serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga program ini dapat mengangkat nilai kebudayaan negara, serta dalam masa yang sama menyampaikan mesej integriti dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi.”

Simposium Nada Integriti 2025 bukan sekadar program kesenian, ia adalah simbol gerakan mahasiswa yang bangkit sebagai ejen perubahan dan duta anti rasuah melalui pendekatan yang lebih kreatif seperti mengetengahkan warisan seni bangsa.

Antara susasana sekitar berlangsungnya program Simposium Nada Integriti
yang bertempat di Dewan SITC pada 14 jun 2025
Antara susasana sekitar berlangsungnya program Simposium Nada Integriti
yang bertempat di Dewan SITC pada 14 jun 2025

Syabas dan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa pelaksana, rakan kolaborasi, dan khususnya kepada penaja utama, Yayasan Perak atas sokongan padu terhadap usaha murni ini. Semoga program ini terus menjadi platform unggul dalam mengangkat nama Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) UPSI ke peringkat yang lebih gemilang.