Oleh: Vanessa Sandy anak Masol, Chong Yoke Ming & Mohamad Basri Jamal

Tanjong Malim, 25 Jun 2025 – Kesedaran terhadap kesihatan mental dalam kalangan belia sekali lagi menjadi sorotan utama apabila Pusat Kesihatan UPSI, bersama Persatuan Pengajian Malaysia dan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) menganjurkan satu Dialog Kesihatan Mental sempena Karnival Kesihatan Muallim yang berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Mengangkat tema kesejahteraan emosi dalam kalangan mahasiswa, program dimulakan seawal 8.00 pagi dengan sesi dialog utama bertajuk “The Silent Battle: Youth & Mental Health Today”, yang mengupas secara mendalam isu tekanan mental, kemurungan, dan kebimbangan (anxiety) yang kian meruncing dalam kalangan generasi muda pasca pandemik.

Sesi ini menampilkan figura profesional dalam bidang psikologi, iaitu Ahmad Shazwi Ahmad Shukri, Pegawai Tadbir (Psikologi) dari Pusat Kaunseling UPSI sebagai panel jemputan utama. Dalam perkongsiannya yang bersahaja namun sarat makna, beliau menegaskan bahawa kesihatan mental bukan lagi isu yang wajar diselindung, sebaliknya perlu ditangani dengan ilmu, empati dan sistem sokongan yang efektif.

“Mahasiswa hari ini bukan sekadar berjuang dalam akademik, tetapi juga dalam senyap menghadapi tekanan peribadi yang tidak kelihatan di permukaan. Peranan kita sebagai komuniti penyayang ialah mengenal pasti, memahami, dan membantu sebelum mereka rebah,” ujar beliau sambil mengajak audiens untuk lebih cakna terhadap sahabat di sekeliling.

Dialog ini dikendalikan dengan penuh dinamik oleh Nur Alia Zahirah Hamzah, Exco Kebajikan & Perumahan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, selaku moderator, yang berjaya menghidupkan perbincangan menerusi soalan-soalan bernas dan dekat dengan realiti mahasiswa. Suasana dewan yang dipenuhi pelajar dan staf menjadi saksi keterbukaan perbincangan yang selama ini dianggap tabu. Beberapa peserta turut berpeluang mengajukan soalan dan berkongsi pengalaman peribadi secara anonim, membuktikan wujudnya keperluan mendesak untuk lebih banyak platform seperti ini.

Seorang peserta yang ditemui selepas program menyatakan, “Saya rasa didengari hari ini. Ada banyak benda yang kami pendam, tapi melalui sesi seperti ini, kami mula sedar bahawa kami tidak keseorangan.”

Program ini merupakan inisiatif proaktif FSK dalam menyokong Agenda Kesihatan Mental Nasional, selain mendukung aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan holistik dan seimbang dari aspek intelek, emosi dan spiritual. Dengan kehadiran lebih 300 orang peserta dari pelbagai fakulti, Karnival Kesihatan Muallim bukan sekadar program kesedaran, tetapi satu gerakan kampus yang menyeru perubahan cara fikir terhadap kesihatan mental; dari diam kepada tindakan, dari stigma kepada sokongan.

Dalam pada itu, pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini. Penghargaan khusus ditujukan kepada Chong Yoke Ming selaku Pengarah Program atas kepimpinan beliau yang cekap dan komited sepanjang tempoh perancangan dan pelaksanaan. Turut dihargai ialah seluruh staf Pusat Kesihatan UPSI dan Fakulti Sains Kemanusiaan, serta semua ahli jawatankuasa kerja yang telah menyumbangkan tenaga dan masa dalam menjayakan karnival ini dengan penuh dedikasi.

Tidak dilupakan juga sokongan dan kerjasama daripada persatuan-persatuan pelajar di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan yang terlibat secara aktif dalam penganjuran, iaitu PPMas, PERMOR, PERGEO, PPI, PERMAS dan PTQ. Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak jelas mencerminkan semangat kesepaduan warga UPSI dalam membina sebuah komuniti kampus yang prihatin terhadap kesejahteraan kesihatan.

Karnival Kesihatan Muallim 2025 bukan sahaja membuka ruang dialog dan kesedaran, malah menjadi satu platform penting dalam menyemai budaya cakna terhadap kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa. Program seperti ini sewajarnya diteruskan secara berterusan agar lebih ramai pelajar tampil berani untuk berkongsi, mendapatkan sokongan, dan lebih penting, menyedari bahawa mereka tidak keseorangan dalam menghadapi cabaran kehidupan sebagai seorang pelajar.