Pengunjung Karnival Kesihatan Muallim beratur untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma di kaunter PKD Muallim

Oleh: Chong Yoke Ming

TANJONG MALIM, 25 JUN 2025 – Saringan kesihatan secara berkala adalah penting untuk kesejahteraan kesihatan seseorang. Menyedari kepentingan saringan itu, Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), dengan kerjasama Pusat Kesihatan Universiti dan pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan telah menganjurkan Karnival Kesihatan Muallim bertempat di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Program yang diadakan dari 8.00 pagi hingga 10.00 malam itu telah dihadiri oleh 20 pempamer yang terdiri daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan, telah menawarkan pelbagai saringan kesihatan secara percuma kepada semua pengunjung. Lebih menarik lagi, secara keseluruhannya, lebih 1,000 saringan kesihatan berjaya dilaksanakan sepanjang hari tersebut.

“Pada pandangan saya, karnival yang dianjurkan ini sangat baik dan memberi manfaat kepada pelajar dan pensyarah, kerana saringan kesihatan yang dijalankan membolehkan kita mengetahui keadaan kesihatan sebenar kita. Bukan semua orang mampu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala atas faktor kewangan, pengangkutan, stigma dan sebagainya, jadi saya harap program seperti ini dapat dianjurkan dengan lebih kerap pada masa akan datang.“ kata Siti Nursuhaila, seorang mahasiswa Fakulti Sains Kemanusiaan yang hadir menjalani saringan kesihatan pada hari ini.

Antara pempamer yang hadir pada Karnival Kesihatan kali ini adalah Pejabat Kesihatan Daerah Muallim (PKD Muallim). Pihak PKD telahpun menyediakan saringan kesihatan asas, konsultasi pakar pemakanan, serta saringan HIV tanpa nama kepada semua pengunjung.

Selain itu, turut hadir adalah National Cancer Society Malaysia (NCSM) yang telah mengaktifkan Unit Klinik Bergerak mereka untuk hadir di Karnival Kesihatan Muallim. NCSM telah menjalankan pelbagai saringan berkaitan kanser seperti pemeriksaan payudara, saringan Smokelyser dan saringan Immunochemical Fecal Occult Blood Test (IFOBT).

Tidak lupa juga, saringan mata daripada syarikat MATA by Optometris yang mewakili Persatuan Optometris Malaysia, saringan kesihatan mental daripada Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia, saringan DNA HPV daripada Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara, serta saringan kesihatan pergigian daripada Pusat Kesihatan UPSI.

Selain daripada saringan kesihatan, pelbagai pameran lain turut diadakan sempena Karnival Kesihatan Muallim, merangkumi demonstrasi pertolongan cemas daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Persatuan Siswa Siswi Pertahanan Awam, dan Pasukan Pertolongan Cemas UPSI, serta pameran agensi seperti Balai Bomba & Penyelamat Tanjong Malim, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, MySalam, Malaysian Stem Cell Registry, Lembaga Tabung Haji, Program Siswa Sihat, dan V-FSK4U.