Oleh: Anderynie Rokos dan Chong Yoke Ming
Tanjong Malim, 25 Jun 2025 – Jangkitan HIV dan AIDS merupakan satu masalah besar yang sedang melanda golongan muda, khususnya mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT). Malah, menurut Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Lukanisman Awang Sauni, lebih 1,000 pelajar IPT dikesan positif HIV sejak tahun 2020.
Mengambil kira isu ini, Pusat Kesihatan UPSI bersama Persatuan Pengajian Malaysia telah menganjurkan ceramah “Suarakan Realiti: Merungkai Isu LGBTQ dan HIV/AIDS” sebagai salah satu acara utama dalam Program Karnival Kesihatan Muallim.
Forum ini menampilkan Prof. Dr. Samsul Deraman, Ahli Lembaga Pengarah Universiti yang juga Profesor Kuliliyyah of Medicine, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kampus Kuantan. Dalam ceramah selama 2 jam itu, beliau telah berkongsi pandangan dan ilmu berkaitan isu semasa LGBTQ serta cabaran berkaitan HIV/AIDS dalam kalangan masyarakat masa kini. Program ini bertujuan untuk membuka ruang dialog terbuka dan berinformasi mengenai isu-isu yang menjadi buah mulut masyarakat umum. LGBTQ dan HIV/AIDS seringkali dilihat dari sudut stigma dan prejudis tanpa pemahaman yang mendalam. Oleh itu, ceramah ini menjadi platform yang sangat penting untuk menyampaikan maklumat dan info tambahan kepada semua golongan masyarakat.
Isu LGBTQ sering menjadi perbincangan hangat dalam masyarakat kerana melibatkan sensitiviti agama, budaya dan nilai moral. Dalam konteks ceramah “Suarakan Realiti: Merungkai Isu LGBTQ dan HIV/AIDS”, isu ini dibincangkan secara ilmiah dan beretika bagi memberi kefahaman yang lebih tepat serta berfakta kepada mahasiswa. Antara topik utama yang diketengahkan ialah faktor-faktor yang mendorong kecenderungan LGBTQ seperti latar belakang persekitaran, pengalaman trauma, serta pengaruh sosial dan media. Forum ini turut menekankan keperluan untuk membezakan antara memahami dan menyokong di mana empati tidak bermaksud bersetuju tetapi membuka ruang dialog untuk mencari pendekatan pendidikan dan kaunseling yang lebih berkesan. Melalui pendekatan ini, mahasiswa dididik agar tidak bersikap menghukum sebaliknya mengamalkan nilai toleransi, hormat-menghormati dan tanggungjawab sosial dalam menangani isu yang kompleks ini.
Karnival Kesihatan Muallim diadakan pada 25 Jun lalu di Dewan SITC dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam. Program yang dipimpin oleh Chong Yoke Ming selaku Pengarah Program itu telah dihadiri oleh hampir 1,000 mahasiswa, kakitangan serta orang awam di sekitar daerah Muallim dan Hulu Selangor.
Selain daripada Ceramah LGBTQ dan AIDS ini, pelbagai aktiviti menarik yang lain turut diadakan, seperti pameran dan pemeriksaan kesihatan percuma, aktiviti sukaneka, forum dan dialog yang lain, serta pelbagai pertandingan.