Oleh : Radin Wafa Syahirah Kamaruzaman
Pulau Pangkor, 1 Julai 2025 – Program Kampung Angkat MADANI@Pangkor anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan kesinambungan Kursus Pembuatan Pakaian Wanita melalui pelaksanaan Siri 2 dan Siri 3 pada 28 Jun hingga 1 Julai lalu bertempat di Dewan Komuniti Kampung Sg. Pinang Besar, Pulau Pangkor.
Kursus ini yang dilaksanakan secara bersiri dan program ini adalah hasil kerjasama strategik antara Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), dan Jabatan Pembangunan Pengurusan Harta & Benda (JPPHB) di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) universiti.


Pada Siri 2 yang berlangsung selama dua hari (28 Jun hingga 29 Jun), peserta telah diberi pendedahan dan latihan praktikal dalam proses pembuatan Blaus Cardigan. Kursus ini memberikan penekanan kepada teknik penghasilan rekaan pakaian bagi menghasilkan blaus yang kemas dan moden.


Sementara itu, Siri 3 pula diteruskan pada 30 Jun hingga 1 Julai dengan fokus kepada pembuatan seluar palazo yang semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita. Para peserta diajar teknik penyediaan pola, pemotongan fabrik, penyambungan bahagian pinggang serta kemasan jahitan pada getah pinggang dan bukaan kaki seluar.
Menurut Senijulita Johari, Pereka Fesyen FTV yang juga pengajar kursus ini, pemilihan modul bersiri ini adalah bertujuan untuk memperkasa kemahiran jahitan secara berperingkat bermula dari asas sehingga penghasilan dua jenis pakaian kasual yang lebih kompleks dan menarik.
Menurutnya lagi “Latihan ini membolehkan para peserta memperoleh keyakinan dalam menghasilkan pakaian wanita lengkap, serta membuka peluang untuk mereka menjadikan kemahiran ini sebagai salah satu alternatif sumber pendapatan yang baharu buat keluarga.”
Kursus ini turut dibantu oleh mahasiswa kursus Ekonomi Rumah Tangga, FTV yang bertindak sebagai pembimbing teknikal sepanjang sesi latihan berlangsung. Pendekatan bimbingan secara amali atau praktikal ini membantu peserta memahami dengan lebih jelas setiap proses penghasilan pakaian daripada awal sehingga akhir.
Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada suri rumah, usahawan kecil dan belia wanita yang ingin meningkatkan kemahiran diri. Semangat dan komitmen peserta sepanjang tiga siri kursus ini membuktikan potensi besar dalam memperkukuh keusahawanan wanita dalam komuniti luar bandar.
Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan UPSI dalam mendokong aspirasi Malaysia MADANI serta peranannya sebagai pemangkin transformasi sosial dan ekonomi komuniti setempat.