Oleh: Natasia Low Ai Yun, Chong Yoke Ming & Prof. Madya Dr. Samsudin Suhaili

Tanjong Malim, 25 Jun 2025 – “Sembang Santai: Kesedaran Terhadap Kebersihan Awam, Sumber Kesejahteraan Masyarakat” sebuah forum ilmiah telah berjaya dianjurkan di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Forum yang berlangsung dari jam 2.00 hingga 4.00 petang ini dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosiobudaya Malaysia (KESUMA) sempena Karnival Kesihatan Muallim.

Forum tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran awam tentang peranan kebersihan dalam menjamin kesihatan dan kesejahteraan masyarakat, dan dikendalikan dengan penuh profesional oleh Dr. Nurzaimah Asalal, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Malaysia UPSI selaku moderator, yang berjaya mengekalkan suasana santai namun padat dengan pengisian bermakna sepanjang sesi berlangsung. Forum itu turut dihadiri oleh tiga orang ahli panel yang cukup profesional dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Panel pertama, Hasnan Ibrahim, merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan Promosi Kesihatan dari Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang. Beliau telah menekankan peranan pendidikan komuniti dalam membentuk tabiat kebersihan yang berterusan. Beliau turut membentangkan inisiatif dan kempen kesihatan yang telah dijalankan di peringkat negeri sebagai contoh kejayaan kolaborasi antara masyarakat dan pihak berkuasa.

Sementara itu, panel kedua, Dr. Norhidayah Mohd Shafie, Pakar Perubatan Kecemasan dari Hospital Tapah, Perak, menyorot bagaimana isu kebersihan awam berkait rapat dengan peningkatan kes penyakit berjangkit. Beliau berkongsi pengalaman dari lapangan hospital mengenai kes-kes yang berpunca daripada persekitaran tidak bersih dan bagaimana langkah pencegahan boleh menyelamatkan nyawa.

Panel ketiga, Siti Aida Haji Rasidi, Ketua Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan dari Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), memberi fokus kepada cabaran pengurusan kebersihan di peringkat PBT. Beliau turut menyeru agar komuniti berganding bahu bersama pihak berkuasa tempatan dalam memelihara kebersihan kawasan masing-masing sebagai tanggungjawab bersama.

Forum ini turut diserikan dengan sesi soal jawab yang interaktif, di mana para hadirin berpeluang mengutarakan pandangan serta bertanyakan soalan secara terus kepada panel. Kehadiran yang memberangsangkan dari kalangan pelajar, pensyarah serta wakil komuniti membuktikan bahawa isu kebersihan awam sememangnya dekat di hati masyarakat.

Secara keseluruhannya, forum ini berjaya menyuntik semangat dan kesedaran dalam kalangan peserta mengenai pentingnya kebersihan sebagai asas kesejahteraan masyarakat. Adalah diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas jangkauannya ke seluruh lapisan komuniti demi membudayakan nilai kebersihan dalam kehidupan seharian.