Oleh: Nur Irdina Batrsyia Nor Hasnan
Kuala Kangsar Perak, 31 Mei 2025- Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) telah menganjurkan program Hike and Chill: Bukit Liman Kati X Lata Perahu. Program ini telah berlangsung di Kuala Kangsar iaitu Bukit Liman Kati dan juga Lata Perahu. Program ini melibatkan kakitangan FSK dan mahasiswa UPSI serta dijayakan dengan kerjasama daripada organisasi Gunung People.

Program Hike&Chill: Bukit Liman Kati X Lata Perahu dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental mahasiswa melalui aktiviti rekreasi yang aktif dan seimbang. Program ini juga bertujuan untuk menanam rasa cinta dan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar sebagai asas kepada pembangunan mampan dan etika sivik. Selain itu, program in juga membina kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerjasama berpasukan, disiplin dan kecekapan membuat keputusan dalam situasi sebenar. Program ini telah disertai oleh 35 orang peserta.



Program Hike & Chill: Bukit Liman Kati X Lata Perahu telah memberikan pengalaman yang baru kepada para peserta. Aktiviti mendaki bermula pada pukul 3.00 pagi dan berakhir sekitar 5.30 pagi, memberikan pengalaman kepada para peserta mendaki trek yang dikelilingi dengan kebun getah dan kebun buah-buahan. Walaupun terdapat beberapa peserta yang lambat tiba di setiap titik pemeriksaan (checkpoint), namun semangat kerjasama yang tinggi ditunjukkan oleh peserta lain yang dengan sabar menunggu di setiap checkpoint untuk memastikan tiada seorang pun yang ketinggalan. Suasana matahari terbit yang cantik dan menyegarkan menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan.
Selain itu, program ini juga berjaya mengeratkan silaturahim dalam kalangan peserta yang merupakan mahasiswa dari fakulti yang berbeza. Pada jam 9.00 pagi seepas mendaki, peserta berpeluang untuk bermandi-manda di Lata Perahu, menikmati kesejukan air terjun yang menyegarkan, menjadikan keseluruhan pengalaman ini lebih bermakna.
Diharapkan program ini dapat memberikan peluang kepada para pelajar untuk melarikan diri sebentar dari kesibukan rutin harian dan tekanan akademik yang sering membelenggu mereka. Aktiviti luar seperti mendaki bukit dan menikmati keindahan alam semulajadi memberikan ruang untuk mereka melepaskan segala kepenatan, sekali gus mengembalikan semula ketenangan fikiran dan semangat yang baru. Selain itu, pengalaman bersama rakan-rakan dalam suasana yang lebih santai turut mengeratkan hubungan sesama mereka, yang akhirnya membantu meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi.
