Oleh: Nor Humaira Muhamed Aman Amir

Tanjong Malim, 26 Jun 2025 – Persatuan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) Sidang 2024/2025 telah berjaya menganjurkan program “Aspirasi Anak Melaka: Suai Kenal Bersama TAPEM di Bumi Tanjong Malim” iaitu perjumpaan santai Mahasiswa Anak Melaka (UPSI) bersama Badan Kerajaan Negeri Melaka yang berlangsung di Restoran Douglas, Tanjong Malim.

Program ini yang bermula pada jam 7.30 malam hingga 10.15 malam dan telah menghimpunkan mahasiswa anak Melaka dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama beberapa tokoh kenamaan dan wakil kerajaan Negeri Melaka dalam suasana yang santai namun penuh bermakna.

Sesi sembang santai Mahasiswa Anak Melaka (UPSI) bersama Badan Kerajaan Negeri Melaka
Sesi sembang santai Mahasiswa Anak Melaka (UPSI) bersama Badan Kerajaan Negeri Melaka

Program ini merupakan inisiatif strategik IMAM untuk merapatkan hubungan antara mahasiswa anak Melaka yang berada di perantauan dengan pemimpin negeri serta wakil agensi pendidikan seperti Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

Majlis ini diserikan dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat seperti Prof. Dr. Norkhalid Salimin selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, YB Datuk Rosli Abdullah, Timbalan EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali yang merupakan Bekas Ketua Menteri Melaka Ke-12, Encik Abdul Aziz Baba, Pengurus Besar TAPEM serta YB Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri Melaka.

Gambar semasa program dijalankan di Restoran Douglas, Tanjung Malim.
Gambar semasa program dijalankan di Restoran Douglas, Tanjung Malim.

Kehadiran tokoh-tokoh ini bukan sahaja memberi suntikan semangat kepada para mahasiswa, tetapi turut mencerminkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam mendengar dan memahami keperluan serta suara anak Melaka di institusi pengajian tinggi.

Sepanjang program berlangsung, para tetamu tidak hanya hadir sebagai perasmi atau penyampai ucapan semata-mata.

Mereka telah mengambil pendekatan yang sangat mesra dan terbuka dengan duduk bersama pelajar, bertanya dengan penuh prihatin tentang pengalaman mereka di UPSI, cabaran yang dihadapi sepanjang pengajian, serta bentuk bantuan atau sokongan yang diperlukan oleh mahasiswa untuk terus cemerlang dalam bidang masing-masing.

Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md. Ali dalam perbualan santai bersama mahasiswa
Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md. Ali dalam perbualan santai bersama mahasiswa

Pelajar-pelajar yang hadir menyatakan dengan jujur bahawa antara cabaran utama mereka termasuklah kekangan kewangan untuk keperluan akademik seperti bahan rujukan, keperluan semasa menjalani latihan industri, serta kesukaran mendapatkan maklumat tentang peluang biasiswa atau bantuan yang disediakan kerajaan negeri.

Selain itu, pelajar juga mencadangkan supaya lebih banyak program pembangunan kendiri seperti bengkel kemahiran insaniah, ceramah motivasi dan jaringan bersama alumni dapat dianjurkan dengan sokongan penuh daripada agensi negeri.

Respons daripada para tetamu amat menggalakkan dan memberangsangkan. YB Datuk Rosli Abdullah memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk menerima cadangan daripada mahasiswa dan berusaha untuk memperkemas saluran bantuan pendidikan supaya lebih inklusif dan berkesan.

Encik Abdul Aziz Baba turut menyatakan komitmen TAPEM untuk memperluaskan akses maklumat serta merancang untuk turun padang ke universiti-universiti termasuk UPSI bagi memberi penerangan terus kepada pelajar anak Melaka.

Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali dalam perbualan santai bersama mahasiswa turut berkongsi pengalaman beliau sebagai anak kampung yang berjaya melakar kejayaan melalui pendidikan.

Beliau menekankan bahawa dengan semangat dan ketekunan, anak muda Melaka mampu menjadi pemimpin negara yang berkaliber.

Sesi suai kenal ini juga menjadi platform untuk memperkenalkan barisan kepimpinan baharu IMAM UPSI bagi sidang 2024/2025 dan membuka ruang kepada perbincangan awal untuk menjalin kerjasama antara persatuan pelajar dan agensi kerajaan negeri.

Walaupun hanya dihadiri oleh 15 orang pelajar anak Melaka secara terhad, program ini berjaya mencapai matlamatnya sebagai wadah pertemuan berimpak tinggi antara mahasiswa dan pemimpin negeri.

Kehadiran Prof. Dr. Norkhalid Salimin turut menyerikan majlis, di mana beliau menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan pemimpin negeri Melaka dalam memberikan perhatian dan dorongan kepada mahasiswa perantauan.

Majlis yang turut diserikan dengan jamuan makan malam ini membuktikan bahawa hubungan antara mahasiswa dan pemimpin boleh dijalin dalam suasana santai tetapi berkesan, tanpa mengurangkan nilai intelektual dan objektif besar program.

Program ini bukan sahaja memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar dari segi pendedahan sosial dan komunikasi kepimpinan, tetapi juga menyemai semangat untuk terus berjuang demi kecemerlangan diri dan negeri tercinta.

Gambar bersama penasihat Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) iaitu Encik Musa bin Jaafar
Gambar bersama penasihat Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) iaitu Encik Musa bin Jaafar

Dengan kejayaan penganjuran program ini, IMAM UPSI yakin bahawa lebih banyak inisiatif berimpak tinggi akan dapat dilaksanakan pada masa hadapan, selari dengan matlamat memperkasakan mahasiswa anak Melaka sebagai pemimpin muda yang berwibawa, berakhlak dan berjiwa rakyat.

Aspirasi anak Melaka tidak akan terhenti di sini sebaliknya ia akan terus menyala dalam semangat mahasiswa yang berani menyuarakan perubahan, serta pemimpin negeri yang sentiasa mendengar dan menyokong perjuangan mereka.