Oleh: Nur Alya Batrisyia dan Amanii Nasuha
Tanjong Malim, 9 Julai 2025 – Program Jom! – Jelajah Orientasi Mahasiswa (J.O.M.) merupakan salah satu program yang diadakan di bawah Fakulti Pembangunan Manusia bersama-sama dengan Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk pelajar baharu Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak ambilan Julai sesi 2025/2026.
Seramai 72 orang pelajar diploma ambilan yang berjaya mendaftarkan diri beberapa hari yang lalu terlibat secara langsung bersama 15 orang ahli jawatankuasa (AJK) daripada Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PDPAKK) sesi 2025/2026 dan juga Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), FPM.



Program yang dijalankan sebelum kuliah semester 1 sesi 2025/2026 bermula yang dijalankan ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu tentang FPM dan mengenali kakitangan FPM dengan baik serta menyelami persekitaran yang kondusif di FPM.
Selain itu, mereka juga dapat membina hubungan yang baik dengan rakan-rakan baharu diploma yang lain serta budaya di kampus yang bakal mereka tempuhi sepanjang tempoh pengajian di UPSI nanti.
Antara pengisian utama sepanjang program berlangsung ialah taklimat pengurusan FPM, taklimat jabatan PAKK, taklimat penyelaras program Diploma, lawatan ruang di blok FPM, ice-breaking, dan juga pengenalan persatuan Diploma PAKK.


Semua pengisian ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara pelajar, malah membina semangat setiakawan dan kerjasama yang tinggi dalam kalangan pelajar daripada pelbagai latar belakang.
Program yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 1 dan Bilik Seminar Za’ba, Blok 9, FPM, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI dibahagikan kepada dua slot utama.
Slot pertama iaitu slot bersama FPM dan Jabatan PAKK, manakala Slot kedua bersama Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) sesi 2025/2026.
Bagi Slot 1, Prof. Madya Dr. Abdul Talib bin Mohamed Hashim selaku Dekan FPM telah menyampaikan ucapan aluan serta berkongsi kejayaan dan pencapaian yang membanggakan oleh para mahasiswa/i Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebelum ini.



Menurut beliau, banyak kejayaan yang telah dicapai oleh FPM dalam menjadikan FPM sebuah fakulti yang disegani dan cemerlang dalam pelbagai aspek.
Seterusnya, disusuli oleh ucapan Penolong Pendaftar Kanan FPM, Encik Muzammil bin Mahil, yang memperkenalkan barisan staf pentadbiran dan kakitangan FPM yang hadir.
Beliau turut menerangkan proses serta prosedur berkaitan urusan pendaftaran yang melibatkan fakulti dan pelajar. Tanpa orang-orang penting ini, pengurusan fakulti tidak dapat berjalan dengan lancar malah menjadi tulang belakang utama kepada
Tidak ketinggalan, ucapan dan motivasi yang disampaikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPM, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan bagi menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada para pelajar. Ucapan ini disertakan dengan perkongsian kejayaan serta pencapaian cemerlang graduan Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang menjadi bukti keberkesanan program ini.
Selain itu, pelajar juga turut diberikan pendedahan berkaitan proses pendaftaran kursus, termasuk cara mendaftar subjek dan perkara penting lain yang perlu diambil perhatian sepanjang tempoh pendaftaran.
Sebagai penutup Slot 1, perkongsian mengenai Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PDPAKK) turut diadakan, termasuk pengenalan barisan Majlis Tertinggi Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) sesi 2025/2026.
Program ini berakhir dengan slot kedua iaitu bersama persatuan DPAKK. Melalui ucapan penasihat Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak iaitu Puan Norrulkamari Daud.
Beliau menekankan kepada pelajar baharu agar menetapkan matlamat berada di UPSI selama 2 tahun Diploma ini kerna di UPSI lah tempat perjalanan menuntut ilmu yang sebenar mereka bermula, dari aspek mencari kawan, budaya belajar, mengurus diri sendiri, dan sebagainya perlu ada pengurusan kendiri yang baik.
AJK pelaksana program juga turut menyediakan aktiviti ice-breaking kepada mereka dalam target dapat mengenali satu sama lain dengan baik di samping lawatan sekitar fakulti juga turut diadakan bersama pelajar baharu ini. Tambahan, ahli persatuan dari sidang 2024/2025 juga turut hadir memeriahkan suasana bersama pelajar-pelajar baharu.
Program ini berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan iaitu memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu berkaitan suasana, persekitaran, peraturan dan budaya kampus di samping membina semangat kerjasama, jalinan ukhuwah serta meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan pelajar.


Program ini berakhir dengan sesi fotografi bersama penasihat persatuan, AJK Pelaksana program, mahasiswa/i pelajar baharu DPAKK, FPM dan semua yang hadir.
Tahniah diucapkan kepada semua pelajar baharu kerna mereka telah menjadi salah seorang warga ibu kandung suluh budiman, di sini tempat mencari ilmu, di sini jualah lahirnya seorang pendidik dan mahasiswa/i yang kaya akhlak dan adabnya.
Semoga dengan peluang ini dapat memberi semangat kepada pelajar baharu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya yang baru di UPSI tercinta ini.
