Cameron Highlands, 11 Julai 2025 – Program Khidmat Komuniti anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama masyarakat Orang Asli Kampung Chenan Cherah telah berjaya dilaksanakan pada 11 hingga 12 Julai lalu.

Program ini merupakan kesinambungan usaha PTB dalam menyantuni komuniti luar bandar, khususnya masyarakat Orang Asli, melalui pendekatan pendidikan, literasi dan khidmat sosial. Seramai 10 kakitangan PTB terlibat secara langsung dalam pelaksanaan aktiviti, yang turut memberi pendedahan kepada warga perpustakaan dalam menjalin hubungan erat bersama komuniti setempat.

Pelbagai aktiviti interaktif dan menyeronokkan dijalankan antaranya sesi bacaan buku, permainan pendidikan serta aktiviti seni kreatif yang menyasarkan penyertaan kanak-kanak. Matlamat utama adalah untuk memupuk minat membaca dan membina semangat celik ilmu dalam kalangan generasi muda.

Selain itu, pasukan PTB turut melaksanakan kerja penyelenggaraan Pusat Sumber Mini yang telah diwujudkan dalam program terdahulu. Penambahbaikan meliputi pemasangan rak buku tambahan dan pembersihan ruang, bagi memastikan pusat tersebut kekal kondusif dan berfungsi secara optimum untuk kegunaan komuniti.

Menurut Timbalan Ketua Pustakawan, Mohd Razali Ahmad Termizi, program seumpama ini bukan sahaja merapatkan jurang antara institusi pengajian tinggi dan komuniti luar bandar malah menyemai nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti.

“Lebih penting, inisiatif ini selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-4 yang menekankan kepentingan menyediakan pendidikan inklusif, berkualiti dan menyeluruh serta membuka ruang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Komitmen PTB adalah untuk memastikan komuniti Orang Asli terus mendapat akses kepada pendidikan asas, terutamanya dalam memperkukuh kemahiran pembelajaran yang menyokong pembangunan intelek dan sosial.

PTB turut mengalu-alukan penglibatan mana-mana organisasi atau persatuan untuk bersama menjayakan misi memperkasa komuniti Orang Asli di Kampung Chenan Cherah. Sokongan kolektif ini diyakini mampu memastikan kesinambungan inisiatif serta memberi impak positif jangka panjang kepada masyarakat yang memerlukan.