Oleh: Dr. Mad Helmi Ab. Majid

Tanjong Malim, 6 Julai 2025 – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) dan World of Robotics Sdn Bhd menganjurkan Kem Kepintaran Buatan (AI) dan Robotik di Makmal Robotik, Bangunan Ilmu Bersepadu, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kem sehari tersebut telah disertai oleh 100 orang pelajar sekolah rendah berumur 9 hingga 12 tahun dari sekitar Daerah Muallim dan Hulu Selangor. Kem ini telah ditaja oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), melalui inisiatif SciTech4U – STEM CAMP MOSTI 2025.

Kem Kepintaran Buatan (AI) dan Robotik ini dirasmikan oleh Prof. Madya. Dr. Ing. Maizatul Hayati Mohamad Yatim, Dekan FKMT. Perasmian program turut disertai oleh Pengarah Urusan World of Robotics Sdn Bhd, Lee Yew Kein, Pengarah Projek World of Robotics Sdn Bhd, Michelle Choo dan Prof. Madya Dr. Suzani Samuri, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi (TDPI), ibu bapa dan para peserta.

Objektif utama penganjuran kem ini adalah untuk memberi pendedahan tentang asas pengaturcaraan, reka bentuk robot, dan penerapan AI dalam kehidupan. Kem ini juga memberi ruang kepada peserta untuk berfikir secara logik, menyelesaikan masalah, bekerja dalam pasukan, dan mengasah kemahiran insaniah yang sangat diperlukan dalam dunia global hari ini melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Kerjasama penganjuran antara FKMT dan World of Robotics Sdn Bhd merupakan salah satu inisiatif yang telah dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) pada Mac 2024 antara kedua-dua pihak. Kem ini telah memberi impak yang sangat positif khususnya kepada FKMT dan UPSI dalam usaha menjadi hab pembelajaran dan latihan berasaskan teknologi terkini yang dekat dengan masyarakat.