Pelajar sarjana Pendidikan (Pendidikan Khas) yang terlibat dalam International Educational Design, Games, Invention & Innovation (iEDGII) 2024.Pelajar sarjana Pendidikan (Pendidikan Khas) yang terlibat dalam International Educational Design, Games, Invention & Innovation (iEDGII) 2024.

OLEH: DR. VESTLY KONG LIANG SOON dan TING SING LEONG

Kuching, 28 Oktober 2024 – Seramai 23 pelajar Program Sarjana Pendidikan (Pendidikan Khas), Mod Pesisir UPSI di Kuching, Sarawak telah mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih tiga pingat Perak dan tiga pingat Gangsa dalam pertandingan berprestij International Educational Design, Games, Invention & Innovation (iEDGII) 2024 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pertandingan yang berlangsung secara dalam talian ini telah menjadi platform global yang menghimpunkan idea-idea inovatif dari peserta pelbagai negara.

Bertemakan “Innovative Excellence in Education: Pioneering Inclusive Learning”, iEDGII 2024 mengetengahkan pendekatan kreatif dan inklusif dalam bidang pendidikan, reka bentuk pengajaran, permainan pendidikan, serta ciptaan teknologi terkini.

Iklan International Educational Design, Games, Invention & Innovation (iEDGII) 2024

Kesemua penyertaan ini adalah hasil cetusan idea enam kumpulan pelajar, yang telah membangunkan inovasi bertumpu kepada bidang Pendidikan Khas dan dibimbing sepenuhnya oleh pensyarah berpengalaman Dr. Vestly Kong Liang Soon, selaku mentor utama.

Sebanyak enam inovasi telah menerima pengiktirafan dalam pertandingan iEDGII 2024, membuahkan kejayaan manis kepada pelajar UPSI Pesisir Kuching.

Bagi kategori pingat Perak, inovasi FLASH3R yang dibangunkan oleh Ra Flora Anak Raban, Dora Anak Aling, Radzi Bin Tajudin dan Pollie Lim Poh Yue telah mendapat pengiktirafan juri atas pendekatan inovatif dalam pengajaran berasaskan visual.

Seterusnya, inovasi bertajuk Your Colours Your Limit yang dihasilkan oleh Sandi Anak Danel, Pang Lee Ying, Shirley Anyie dan Geraldine Lasak Ding menonjol dengan penggunaan elemen warna sebagai alat bantu untuk pelajar berkeperluan khas.

Tidak ketinggalan, projek WORDCARE hasil ciptaan Shirling Wong, Daisy Anak Anding, Exciry Anak Charlie dan Ivianna Dimah Anak Buntu turut menerima pingat Perak menerusi rekaan aplikasi yang menyokong pembelajaran kosa kata bagi murid yang menghadapi cabaran dalam literasi.

Dalam kategori pingat Gangsa pula, kumpulan yang dianggotai oleh Norafizah Binti Jamali, Bonika Anak Bundak, Jesmin Anak Rawen dan Lau Lee Yin telah memenangi anugerah menerusi inovasi Permainan Maze Dalam Pengajaran Kelas KVS Asas Roti, yang memperkenalkan pendekatan permainan dalam latihan kemahiran vokasional.

Dr. Vestly Kong Liang Soon memberi bimbingan kepada pelajar sarjana dalam 
                  projek inovasi.

Sementara itu, inovasi Daily Routine yang membantu murid menguasai rutin harian telah dikembangkan oleh Norun Hurriyah Binti Mohd Zuke, Nur Liyana Binti Yahya, Siti Amelia Binti Omar dan Noor Fhakurulzee bin Abd Talib.

Akhir sekali, kumpulan Estella Kong Xin Tze, Simon Kuo Zi Ming, Bong Lie Chien dan Ting Sing Leong turut membawa pulang pingat Gangsa menerusi projek Shape is Fun, yang menekankan pembelajaran bentuk asas melalui pendekatan sensori dan permainan yang menyeronokkan.

Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar Sarjana Pendidikan Khas UPSI Mod Pesisir Kuching, Sarawak bukansahaja kompeten dalam menghasilkan inovasi pendidikan yang inklusif dan efektif, malah mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Ia turut memperlihatkan keupayaan UPSI dalam melahirkan pendidik berwibawa dan kreatif, seiring dengan visi universiti sebagai peneraju pendidikan global.