OLEH: DR. VESTLY KONG LIANG SOON dan TING SING LEONG
Kuching, 23 Oktober 2024 – Seramai 23 orang pelajar Program Sarjana Pendidikan (Pendidikan Khas), Mod Pesisir UPSI Kuching, Sarawak telah sekali lagi mengharumkan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan meraih empat pingat Perak dan dua pingat Gangsa dalam pertandingan Hari Inovasi PPAL 4.0 yang berlangsung secara dalam talian.
Pertandingan berprestij ini dianjurkan oleh Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan tema “Membudayakan Inovasi,
Mentransformasi Institusi”. Ia bertujuan memperkasa budaya inovasi dalam kalangan pendidik serta menyediakan platform untuk berkongsi hasilan reka cipta dan pendekatan pedagogi yang mampu meningkatkan kualiti penyampaian pengajaran serta produktiviti akademik.

Kesemua enam kumpulan yang mewakili UPSI telah mengambil bahagian dan membentangkan projek inovatif berfokuskan Pendidikan Khas, hasil daripada bimbingan oleh Dr. Vestly Kong Liang Soon.
Sebanyak enam inovasi hasil cetusan idea pelajar Sarjana Pendidikan (Pendidikan Khas), UPSI Pesisir Kuching, Sarawak telah menerima kemenangan dan pengiktirafan dalam Hari Inovasi PPAL 4.0, sekali gus membuahkan kejayaan yang membanggakan dalam arena inovasi pendidikan antarabangsa.
Dalam kategori pingat Perak, empat projek telah diiktiraf atas nilai inovatif dan impaknya terhadap bidang Pendidikan Khas. Inovasi Doughmaze: Maze yang dibangunkan oleh Norafizah Jamali, Bonika Bundak, Jesmin Anak Rawen dan Lau Lee Yin telah menarik perhatian juri dengan pendekatan permainan maze yang kreatif dalam konteks latihan kemahiran vokasional asas.
Seterusnya, Kit Pembelajaran Interaktif: Your Colour, Your Limit hasil ciptaan Sandi Anak Danel, Pang Lee Ying, Shirley Anyie dan Geraldine Lasak Ding menonjol melalui penggunaan warna sebagai elemen pengajaran berkesan untuk pelajar berkeperluan khas.
Turut menerima pingat Perak ialah inovasi bertajuk Self-Learning Website: Shape is Fun yang direka oleh Estella Kong Xin Tze, Simon Kuo Zi Ming, Bong Lie Chien dan Ting Sing Leong. Inovasi ini memperkenalkan pembelajaran kendiri bentuk asas melalui pendekatan sensori dan interaktif.
Satu lagi projek yang mencuri perhatian ialah WORDCARE: Inovasi Aplikasi Wordwall Dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Subjek Pengurusan Diri Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Di Sekolah Rendah, hasil kolaborasi Shirling Wong, Daisy Anak Anding, Exciry Anak Charlie dan Ivianna Dimah Anak Buntu.
Sementara itu, dua projek telah berjaya meraih pingat Gangsa. Projek Daily Routine: Wash Your Hand! For Self-Suffice Management oleh Norun Hurriyah Mohd Zuke, Nur Liyana Yahya, Siti Amelia Omar dan Noor Fhakurulzee Abd Talib memberi fokus kepada pemupukan kemahiran kendiri dalam kalangan murid melalui pendekatan rutin harian.
Projek I-FLASH3R: Mengenali Bahagian Tumbuhan, yang dibangunkan oleh Ra Flora Raban, Dora Anak Aling, Radzi Tajudin dan Pollie Lim Poh Yue pula memperkenalkan pendekatan visual yang kreatif dalam pembelajaran sains asas untuk murid pendidikan khas.
Kejayaan gemilang ini menjadi manifestasi keupayaan pelajar Sarjana Pendidikan Khas UPSI dalam mereka bentuk inovasi pendidikan yang bersifat praktikal, inklusif serta responsif terhadap keperluan murid berkeperluan khas.
Ia turut menjadi petunjuk jelas bahawa bidang Pendidikan Khas di UPSI sedang melangkah ke arah pendekatan pengajaran yang lebih dinamik, berpusatkan murid dan sejajar dengan tuntutan pendidikan abad ke-21.

Inovasi yang dihasilkan mencerminkan usaha bersepadu dalam membangunkan bahan bantu mengajar yang mampu meningkatkan keberkesanan pembelajaran secara holistik.
Justeru, pencapaian ini bukan sekadar kejayaan dalam sesebuah pertandingan tetapi menggambarkan komitmen tinggi dan potensi pelajar sarjana untuk memberikan sumbangan signifikan dalam memperkasa bidang Pendidikan Khas di peringkat nasional dan global.
