oleh: Siti Fatimah Mohamed dan Dr. Kama Shaffeei
Tanjong Malim, 4 Ogos 2025 – Sekolah Rendah Seri Budiman, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melancarkan Bulan Intervensi sebagai usaha holistik bagi memperkukuh literasi dan numerasi dalam kalangan murid sekolah rendah.
Program ini menyasarkan murid-murid yang memerlukan sokongan tambahan secara intensif dan berfokus melalui pelbagai pendekatan pengajaran yang inovatif.
Antara intervensi yang dilaksanakan sepanjang bulan ini termasuk Intervensi Literasi, Numerasi, Digital, Pantas Jawi dan Gamifikasi, melibatkan penglibatan aktif guru, pensyarah dari Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Pembangunan Manusia dan Fakulti Sains Kemanusiaan, serta pakar pendidikan luar seperti Alphanet Consultancy dan Pertama Niaga Venture.
Kolaborasi ini bukan sahaja memperkayakan pengisian program tetapi turut membuka ruang pemantapan amalan pedagogi guru secara langsung.
“Kami percaya bahawa setiap murid berhak untuk berjaya, dan tugas kita sebagai pendidik adalah membuka laluan itu untuk mereka.
“Bulan Intervensi ini bukan sekadar program – ia adalah bukti komitmen kami untuk memastikan tiada murid tercicir,” ujar Chief of Education, Dr. Kama Shaffeei dalam ucapan pelancaran.
Diharapkan program ini dapat meningkatkan penguasaan asas murid dalam literasi dan numerasi, menanam minat belajar secara aktif, serta melahirkan murid yang lebih yakin dan berpotensi.



Ia juga diharap menjadi langkah awal kepada budaya intervensi berterusan di sekolah, sambil memperkasa guru dengan pendekatan pengajaran yang lebih responsif.
Melalui kerjasama pihak universiti dan komunitiI, program ini diharap menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Dengan tema “Step In with Intervention, Step Out with Literacy Confidence”, program ini mencerminkan usaha berterusan Sekolah Rendah Seri Budiman dalam membina asas kukuh bagi kejayaan murid – bukan hanya untuk hari ini, tetapi juga untuk masa depan mereka

