oleh: Muhamad Luqman Zainal dan Dr Kama Shaffeei
Tanjong Karang, 9 Ogos 2025 – Telah berlangsung lawatan sambil belajar murid-murid Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Tanjong Karang, Selangor.
Lawatan ini telah disertai oleh seramai 60 peserta termasuk murid-murid dan guru-guru dengan menggunakan pengangkutan bas UPSI.
Lawatan sambil belajar ini merupakan aktiviti tahunan yang akan dilaksanakan untuk murid-murid bagi mengaplikasikan pembelajaran di kelas terhadap situasi sebenar.
Lawatan ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada murid-murid tentang perasaan dan pengalaman sebenar kehidupan seorang petani yang sentiasa membanting tulang, berhempas-pulas dan berpanas demi mendapatkan hasil untuk dimakan.



Selain itu, lawatan ini juga membuka peluang kepada murid untuk merasai sendiri aktiviti yang agak lasak, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Antara aktiviti yang dijalankan di Taman Agroteknologi ini ialah menanam padi. Murid-murid memperoleh pengetahuan baharu yang tidak diajar di sekolah, iaitu cara menanam padi dengan betul.
Mereka juga merasai pengalaman memancing, di mana setiap murid dibekalkan dengan satu joran dan umpan untuk memancing ikan di kolam.
Selain itu, murid-murid turut mempelajari teknik mendayung sampan, iaitu salah satu aktiviti menarik yang disediakan oleh pihak MARDI.
Mereka juga berpeluang menangkap ikan keli menggunakan tangan sendiri. Ikan keli yang telah dibuang sengatnya dilepaskan di kotak sawah padi, dan murid-murid dikehendaki menangkapnya. Setiap murid berpeluang memegang ikan yang masih hidup.
Walaupun pakaian mereka dipenuhi lumpur, wajah mereka tetap ceria dan penuh kegembiraan sepanjang aktiviti dijalankan.


Aktiviti terakhir adalah lawatan ke Galeri Inovasi Padi, di mana murid-murid berpeluang melihat pelbagai maklumat dan teknologi berkaitan penanaman padi serta memahami kepentingan inovasi dalam meningkatkan hasil pertanian negara.
Secara keseluruhannya, lawatan sambil belajar ini bukan sekadar lawatan untuk melihat atau menghayati pemandangan, tetapi turut memberikan pengalaman berharga serta ilmu pengetahuan baharu kepada murid-murid.
Semoga lawatan seperti ini dapat memberi impak yang tinggi dan menjadi kenangan manis buat murid-murid SRSB.

