oleh: Noor Syahirah Che Mansor dan Dr Kama Shaffeei
Tanjong Malim, 7 Ogos 2025 – Seramai 5 orang warga Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah mengharumkan nama sekolah apabila menyertai program K-SEMANIS 2025 yang telah berlangsung pada 5 hingga 7 Ogos 2025 baru-baru ini.
Program K-SEMANIS ini memberi penekanan kepada inovasi dan alam sekitar dalam pendidikan sains dan teknologi ini telah menyaksikan penglibatan dua orang guru pembimbing bersama tiga orang murid mewakili SRSB dalam pertandingan “Plant Power Lab”, sebuah projek berasaskan konsep biologi dan kemampanan alam.
Dua orang guru pembimbing yang terlibat ialah Cikgu Noor Syahirah Binti Che MansordanUstazah Ain Maisarah Binti Azizi, manakala barisan murid yang menyertai pertandingan ini terdiri daripada, Nursafiyyah Humaira Binti Mohamad Syafiq, Syed Isa Zaenal Abidin Bin Syed Hussien, dan Luqman Rafiq Bin Mohd Aqi.
Pasukan SRSB telah berjaya meraih pingat gangsa bagi projek “Plant Power Lab” yang memperlihatkan kreativiti dan pemahaman mendalam para peserta terhadap proses fotosintesis melalui pendekatan saintifik dan interaktif.

SRSB Berjaya merangkul pingat gangsa
semasa pertandingan K-SEMANIS


Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan kerjasama erat antara guru dan murid, potensi sebenar pelajar sekolah rendah mampu diketengahkan di platform berprestij. Penyertaan ini juga mencerminkan komitmen SRSB dalam menyemai budaya inovasi dan pemikiran saintifik dalam kalangan warga sekolah.
Program seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid terhadap dunia sains dan teknologi, malah turut memupuk semangat kerjasama, kepimpinan dan komunikasi berkesan antara ahli pasukan.
Kejayaan pasukan SRSB dalam program K-SEMANIS 2025 menjadi bukti kesungguhan sekolah dalam melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mampu mencipta impak melalui inovasi dan daya cipta.

