oleh: Sharifah Nuraini Syed Fesal dan Dr. Kama Shaffeei
Tanjong Malim, 13 Ogos 2025 – Guru Akademik dari Sekolah Rendah Seri Budiman, Sharifah Nuraini Syed Fesal, mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih Anugerah Perak dalam kategori Pameran Inovasi di pertandingan Kolokium Inovasi Didik Sabak Bernam (KID-SB).
Pertandingan ini berlangsung di Bangunan E-Learning, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan penganjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam dan UPSI.
KID-SB pada tahun ini menghimpunkan penyertaan daripada 59 buah sekolah yang mewakili daerah Sabak Bernam dan Muallim.
Sekolah Rendah Seri Budiman menjadi satu-satunya wakil sekolah swasta yang turut serta dalam pertandingan berprestij ini, sekaligus muncul sebagai satu-satunya sekolah swasta yang berjaya membawa pulang kemenangan di peringkat negeri.


Sharifah Nuraini mempertaruhkan inovasi berjudul Assisted Interactive Book For Learning (A.I-BLE) yang berteraskan tema Pedagogi Digital dan Pembelajaran Hibrid.
Inovasi ini menggabungkan bahan bercetak interaktif seperti helaian berlipat, velcro, dan kepingan perkataan dengan teknologi digital melalui penggunaan kod QR, audio berasaskan Artifial Intelligence (AI) dan video pembelajaran.
Pendekatan unik ini memberi peluang kepada murid untuk belajar secara kendiri dan mengikut tahap masing-masing, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada peranti elektronik.
Kaedah tersebut dinilai sesuai untuk kelas hibrid kerana mampu mengimbangi penggunaan teknologi dengan kaedah pembelajaran tradisional.

A.I-BLE sekaligus memberi nilai tambah kepada guru dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang lebih menarik, berkesan dan berpusatkan murid.
Kejayaan ini membuktikan bahawa usaha guru dalam menghasilkan inovasi pendidikan mampu memberi impak besar kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Pencapaian Sharifah Nuraini diharap dapat menjadi suntikan semangat kepada semua guru untuk terus berusaha, berkreativiti dan melakar lebih banyak kejayaan di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.

