Oleh: Dr. Zahidah Ab Latif

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Sinergi TVET-UPSI, Fakulti Teknikal dan Vokasional, dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), telah menganjurkan Program TVET @OKU – Bakeri & Konfeksioneri, yang memberi peluang latihan kemahiran bakeri dan bimbingan keusahawanan khusus kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Program ini memberi tumpuan kepada penghasilan kek, biskut, dan roti, selain membekalkan peserta dengan kemahiran mengurus perniagaan. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kompetensi serta pendapatan sosioekonomi golongan OKU, seiring dengan aspirasi membentuk masyarakat yang inklusif dan berdaya saing.

Seramai 15 peserta OKU dari daerah Muallim,Perak yang berumur antara 15 hingga 30 tahun, telah menyertai program selama lima hari bermula 11 hingga 18 Julai 2025. Setiap peserta turut menerima kit penyediaan bakeri yang lengkap, termasuk ketuhar, pengadun, dan penimbang, sebagai modal awal untuk memulakan perniagaan dari rumah.

Pengarah program, Prof. Madya Dr. Zaliza binti Hanapi (gambar), berkata objektif utama adalah memperkasakan OKU terutama mereka yang keciciran dalam bidang Pendidikan formal melalui kemahiran dan latihan teknikal serta keusahawanan yang bersifat praktikal serta mesra OKU, agar mereka dapat mencipta peluang pekerjaan sendiri.

Seorang peserta, Khairul Asmadi bin Abdul Hamid, 17, berkata penyertaan dalam program ini adalah langkah awal merealisasikan cita-citanya untuk menjadi seorang chef, walaupun berdepan cabaran sebagai OKU masalah pembelajaran.

Dr. Zaliza berharap agar peserta memanfaatkan sepenuhnya kemahiran yang diperoleh, menghasilkan produk bakeri yang mempunyai nilai pasaran tinggi, dan seterusnya berdikari dalam bidang keusahawanan.

Program ini juga selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan bahawa inovasi dan daya saing adalah teras utama dalam membina masyarakat madani, termasuk komuniti OKU.