Oleh: Dr. Alene Tawang, Pn. Noorazrin Abdul Rajak, Dr. Azi Azeyanty Jamaludin, Prof Madya Dr. Nurul Bahiyah Abd Wahid, Dr. Noraine Salleh Hudin dan Dr. Fatimah Azzahra Ahmad Rashid
Pulau Pinang, 15 Ogos 2025 – Program LOTIF2025: Love Our Turtle – Call To Action yang berlangsung dari 15 Ogos hingga 1 September 2025 di Dewan Bandaran, Pulau Pinang, menemukan cinta manusia dengan nadi alam.
Tahun ini, penyertaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pempamer melalui Pusat Konservasi dan Biodiversiti (CeBEC) FSM, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), serta Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), bersama sukarelawan pelajar daripada Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS) UPSI telah hadir menyokong Program “Love Our Turtles: Ikhtiar Foundation Call To Action (LOTIF2025)”.

Program ini bukan sekadar program biasa. Ia adalah sebuah jambatan, mempertemukan para pejuang alam, pendidik, pelajar, dan masyarakat umum dengan satu tujuan bersama iaitu menyemai usaha kecintaan terhadap alam sekitar secara umumnya dan intipati utama ialah misi menyelamat penyu, makhluk kecil lautan yang menjadi simbol ketahanan dan kesinambungan ekosistem.
Penyu bukan sahaja sebahagian daripada warisan semula jadi negara, tetapi juga nadi keseimbangan laut yang menyatukan manusia dengan alam semesta.
Pameran di reruai CeBEC membawa pengunjung ke dunia konservasi yang dijelmakan dalam bentuk yang hidup.


Dengan bantuan dan idea kreativiti yang segar, sukarelawan pelajar UPSI daripada Kelab RAS memberi nafas baharu kepada mesej konservasi melalui pelbagai pendekatan yang unik.
Gamifikasi konservasi mengajak pengunjung bermain sambil belajar, menyentuh minda dan emosi secara serentak. Para pengunjung diajak “berenang dan menyelam” bersama penyu melalui teknologi realiti maya (VR), merasai sendiri detik perjalanan penyu yang penuh cabaran.
Sementara itu, komik pendidikan bertemakan kitar hidup penyu menunjukkan setiap paparan, adalah undangan untuk merasai betapa berharga dan rapuhnya kehidupan makhluk laut ini.


FSK pula tampil dengan mesej lestari tentang kitar semula, menunjukkan bahawa menjaga alam bermula daripada tindakan kecil yang dilakukan setiap hari.
Sementara itu, FSKIK melakar keindahan melalui seni; kanvas mereka bukan sekadar lukisan, tetapi cerminan jiwa yang memantulkan kasih kepada laut, pasir, dan segala kehidupan yang bergantung kepada keseimbangannya. Di setiap lukisan, ada cerita yang ingin disampaikan oleh si sang penyu dan alam.
Bagi pengunjung, ruang pameran UPSI bukan sekadar tempat melihat, tetapi ruang untuk merasa. Setiap aktiviti, setiap karya seni, setiap informasi adalah pelita kecil yang menyalakan kesedaran bahawa tanpa kita, penyu hanyalah kisah silam yang tinggal dalam buku sejarah.
Penyelaras CeBEC UPSI, Zahid Mat Said yang juga merupakan pensyarah di Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik menegaskan bahawa, “Penyertaan dalam program ini adalah bukti nyata komitmen padu UPSI untuk mendidik generasi muda agar lebih dekat dengan alam dan lebih peduli dengan isu kelestarian.
Beliau turut menyifatkan penglibatan ini adalah seumpama jambatan hati yang menyambungkan antara manusia dan alam.



Kita mahu masyarakat merasai bahawa konservasi bukan beban, tetapi sebuah panggilan cinta terhadap bumi dan segala isinya,” katanya dengan penuh semangat.
Lebih daripada sekadar pameran, penglibatan CeBEC UPSI, FSKIK dan FSK serta Kelab RAS UPSI dalam LOTIF2025 adalah salah satu usaha dalam menyampaikan ilmu kepada ribuan jiwa yang hadir. Setiap pengunjung yang melangkah pergi bukan hanya membawa pulang pengetahuan, tetapi juga rasa tanggungjawab.
Tanggungjawab untuk menjadi khalifah alam, memastikan penyu, sang pengembara lautan akan terus menari di bawah cahaya bulan, yang dapat melahirkan generasi seterusnya tanpa takut pupus dari pandangan dunia.
Selain itu, ianya juga merupakan medan buat bakal generasi pendidik pada masa hadapan belajar menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada pelbagai golongan yang hadir. Pendidikan bukan pilihan, tetapi amanah.
Dan melalui usaha sebegini, UPSI percaya bahawa dengan mendidik rasa kasih sayang manusia terhadap penyu akan berkembang menjadi kasih terhadap kelestarian ekosistem seluruh isi bumi.
CeBEC, FSKIK, dan FSK turut merakamkan penghargaan kepada Ikhtiar Foundation yang sudi menjemput UPSI, serta pihak pengurusan universiti dan fakulti yang sentiasa menjadi tulang belakang menyokong dalam program misi konservasi kali ini.
Seiring dengan semangat itu, warga UPSI dan masyarakat umum yang berkelapangan dijemput hadir ke Dewan Bandaran, Pulau Pinang sehingga 31 Ogos 2025.
Datanglah, rasai sendiri denyut kehidupan laut, dan bersama-sama kita angkat suara untuk menyelamatkan penyu. Kerana jika tangan kita tidak mampu menyumbang dengan harta, biarlah suara kita bergema menjadi gelombang yang menggerakkan kesedaran.

