Oleh: Atikah Umairah Azman
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menunjukkan komitmen bersama dalam mempromosikan kesejahteraan emosi dan mental mahasiswa melalui penganjuran forum ‘Life Odyssey: Family Conflict and Campus Struggles’.
Forum ini, yang merupakan inisiatif kolaborasi antara Persatuan Psikologi UPSI dan Counselling Student Association UIAM, telah diadakan di Kulliyyah of Education, UIAM. Acara tersebut dihadiri seramai 100 peserta, bertujuan untuk membincangkan isu-isu kritikal yang sering dihadapi mahasiswa, terutamanya konflik keluarga yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan mental semasa pengajian.
Mengurus Konflik Keluarga dan Tekanan Kampus
Forum ini dibahagikan kepada dua sesi utama, setiap satunya menampilkan barisan panelis yang berpengalaman.
Sesi pertama, yang bertajuk Family Conflict: How can I Survive, menampilkan Dr. Wan Nurul Izza Binti Wan Husin, Pensyarah Jabatan Psikologi UPSI, dan Encik Mohd Norhafifi Zolkiaply, Pegawai Psikologi UIAM.
Dr. Nurul Izza menekankan bahawa konflik keluarga boleh memberi kesan mendalam terhadap pembelajaran mahasiswa, meskipun mereka berjauhan dari rumah.
Beliau menyarankan mahasiswa untuk berdamai dengan takdir, fokus kepada perkara yang boleh dikawal, dan menguasai teknik pengurusan emosi yang berkesan.
Sementara itu, Encik Hafifi memperkenalkan teknik LOVE (Listen, Observe, Verbal, Encourage) sebagai panduan untuk membantu rakan-rakan yang tertekan.

Sesi kedua pula, bertajuk Campus Struggles: How can I Survive?, menampilkan Mejar Dr. Muhamad Zulhelmi Bin Masri dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Dr. Mohd Nazrul Bin Azizi, Presiden Scopus Malaysia.
Dr. Zulhelmi berkongsi pengalamannya sebagai bekas pelajar perubatan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, menekankan kepentingan pengurusan masa yang efektif melalui prinsip “set priority”, belajar awal, dan mengelakkan sikap bertangguh.
Beliau turut menyoroti pentingnya rutin harian yang sihat, seperti tidur yang mencukupi, bersenam, dan memilih rakan-rakan yang positif, untuk mengekalkan kesejahteraan mental. Pandangan ini disokong oleh Dr. Nazrul, yang menekankan peranan jadual harian yang teratur dalam menstabilkan emosi dan meningkatkan produktiviti.


Meningkatkan Kesedaran dan Kemahiran
Secara keseluruhannya, forum ini telah berjaya menyediakan platform yang berguna untuk mahasiswa mempelajari tips praktikal dalam mengurus emosi, menjaga kesihatan mental, menghadapi konflik keluarga, dan menangani tekanan akademik.
Sesi soal jawab yang aktif menunjukkan minat mendalam para peserta untuk terus mendalami topik pengurusan emosi dan tekanan. Kejayaan forum ini diharapkan dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya bagi memastikan mahasiswa dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengharungi cabaran dalam kehidupan akademik dan peribadi.

