Oleh: Nur Nabilah Nazri
UMK Kampus Bachok – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menganjurkan Grand Final Pitch dan Majlis Perasmian Penutup Program The Next Big Thing: Startup Competition 2024/2025 pada 12 Ogos 2025.
Grand Final Pitch ini merupakan sesi kemuncak yang menampilkan startup pelajar terbaik dari Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti bagi mempersembahkan idea startup berasaskan inovasi dan teknologi digital.
Penganjuran program ini selaras dengan visi kebitaraan keusahawanan KPT yang bertujuan untuk menggalakkan pelajar memanfaatkan inovasi dan teknologi dalam bidang keusahawanan serta mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula pelajar.
Seterusnya, program ini memberi fokus kepada pencetusan idea baharu serta pembangunan model perniagaan yang inovatif dalam kalangan mahasiswa, khususnya yang berpotensi untuk dikembangkan menjadi syarikat pemula berdaya saing.
Sehubungan itu, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) telah menghantar 1 wakil kumpulan, Flytech Empire Enterprise, yang terdiri daripada 4 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengembangan Pertanian dengan Pendidikan di bawah bimbingan Dr. Fazhana Ismail, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) bagi menyertai program tersebut dari peringkat awal.
Penyertaan kumpulan ini menampilkan perniagaan yang memfokuskan kepada penghasilan makanan alternatif haiwan ternakan yang mampan dan mesra alam dengan menggunakan Black Soldier Fly Larvae (BSFL) sebagai bahan utama dalam pembuatan pelet.



Kumpulan ini turut menerima suntikan dana pemula sebanyak RM 5,000 dari pihak KPT bagi proses pembangunan produk startup.
Secara keseluruhannya, penganjuran program ini merupakan langkah proaktif KPT dalam memperkasakan pembangunan usahawan muda negara.
Justeru, penyertaan wakil UPSI dalam program ini merupakan satu langkah besar yang positif, dan diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
