Oleh: Siti Nurhaziqah Sukaimi

Kuala Lumpur, 14 Jun 2025- Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Lensa Warisan Negara yang berlangsung di Muzium Negara, Kuala Lumpur. Program ini melibatkan 30 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPSI dan 10 orang ahli jawatankuasa PERMAS.

Program Lensa Warisan Negara ini merupakan program yang dikelolakan oleh Exco Media Kreatif PERMAS yang bertujuan untuk memupuk semangat cintakan warisan serta meningkatkan pengetahuan tentang perkembangan tamadun dan budaya negara. Sepanjang program berlangsung, peserta diberi penerangan terperinci mengenai pelbagai artifak bersejarah, termasuklah koleksi peninggalan zaman prasejarah, era kesultanan Melayu, penjajahan serta pembentukan Malaysia moden. Aktiviti dan sesi fotografi turut diadakan bagi merakam detik-detik bermakna sepanjang program.

Menurut Ritchie Jonathan, Penolong Kurator Muzium Negara, beliau sangat berbesar hati dan menghargai pihak PERMAS UPSI yang sudi memilih Muzium Negara sebagai lokasi utama Program Lensa Warisan Negara. Beliau menyatakan lagi bahawa muzium bukan sekadar tempat menyimpan artifak lama, tetapi juga sebagai wadah penting untuk mendidik masyarakat tentang sejarah, budaya dan identiti bangsa. Lawatan seperti ini amat bermakna kerana ia memberi peluang kepada generasi muda khususnya untuk mengenali dengan lebih dekat tentang perjalanan panjang pembentukan negara ini dari zaman prasejarah hinggalah era kemerdekaan dan pembangunan moden.

“Saya berharap program ini dapat membuka minda serta menyemarakkan lagi semangat cinta akan warisan serta tanggungjawab untuk memeliharanya. Beliau turut berhasrat agar semua peserta dapat memperoleh ilmu dan kenangan yang bakal menjadi inspirasi dalam usaha untuk memartabatkan sejarah negara ini,” katanya.

Pemberian cenderamata UPSI kepada Ritchie Jonathan

Impak daripada pelaksanaan sambutan ini telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada rata-rata mahasiswa UPSI yang berpuas hati dengan program yang dianjurkan. Menurut salah seorang peserta, “Lawatan ke Muzium Negara sangat menarik bagi saya kerana saya dapat mempelajari banyak pengetahuan sejarah yang saya tidak pernah tahu sebelum ini dan ini merupakan pengalaman yang berharga bagi saya kerana ini juga merupakan pertama kali saya menjejakkan kaki ke Muzium Negara.”

Pameran artifak sejarah di Muzium Negara
Pameran artifak sejarah di Muzium Negara

Program Lensa Warisan Negara ini telah memberi impak yang positif kepada PERMAS. Penganjuran program ini telah memberi pendedahan secara langsung terhadap artifak, galeri sejarah dan penceritaan negara di Muzium Negara yang telah membuka minda para peserta tentang kepentingan mempelajari Sejarah serta memelihara identiti dan jati diri bangsa. Pelaksanaan program ini juga mampu membina mahasiswa yang berkebolehan untuk menjayakan sesuatu program. Penganjur berharap agar sambutan perayaan ini dapat dijadikan program tahunan yang wajib dilaksanakan untuk menambah ilmu pengetahuan sejarah dalam kalangan mahasiswa UPSI.