Oleh: Nur Afiqah Kamaruzaman

Tanjong Malim, 18 Ogos – Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan warga UPSI melalui pelaksanaan Operasi Pemantauan Bersepadu bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muallim,Perak melibatkan empat premis makanan di Kampus Sultan Azlan Shah.

Operasi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berkala yang dijalankan antara empat hingga lima kali setahun, bertujuan memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta undang-undang seperti Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pemeriksaan menyeluruh meliputi aspek pengendalian makanan, kebersihan persekitaran, serta kesihatan pekerja, dengan fokus mencegah penularan penyakit bawaan makanan seperti keracunan, tifoid dan hepatitis A.

Menurut Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran PKU, Siti Zulaika Abd Wahab, operasi ini bukan sekadar penguatkuasaan, tetapi juga satu usaha pendidikan dan advokasi kepada pengusaha premis makanan agar lebih peka terhadap tanggungjawab mereka.

“Kesihatan pelajar, pensyarah, staf dan pengunjung adalah keutamaan kami. Melalui operasi ini, PKU berusaha memastikan setiap premis makanan di kampus berada pada tahap yang selamat, bersih dan berkualiti,” katanya.

Langkah ini turut memperkukuh imej UPSI sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja unggul dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan komuniti kampus secara menyeluruh.