Para peserta yang menyertai program ‘Drawing with Feelings: Terapi Diri Melalui Seni Lukisan’

Oleh: Dr. Noor Hidayah Che Lah

Tanjong Malim, 23 Ogos- RISE@UPSI, Research Management and Innovation Centre (RMIC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui kerjasama Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) telah menganjurkan program terapi seni bertajuk ‘Drawing with Feelings: Terapi Diri Melalui Seni Lukisan‘ di Ruang Pembelajaran 1, Kompleks RMIC, UPSI Proton City pada 23 Ogos lalu.

Program ini disertai oleh 20 orang peserta terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa. Penceramah jemputan, Dr. Elis Syuhaila Mokhtar, Pensyarah Kanan FSKIK, telah membimbing peserta meneroka seni lukisan sebagai medium terapi kendiri serta memberi ruang kepada mereka mengekspresikan emosi dengan cara yang kreatif dan menyeronokkan.  Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Izzal Khairi Ramli, Timbalan Dekan (Jaringan Industri & Penjanaan) FSKIK.

Sepanjang sesi, peserta kelihatan teruja dan memberikan maklum balas yang sangat positif. Dengan melahirkan kegembiraan kerana berpeluang meluahkan perasaan dalam suasana santai sambil menikmati pengalaman baharu yang menenangkan emosi.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, Pengarah RMIC, Profesor Dr. Rosmilah Misnan, Timbalan Pengarah RMIC, Profesor Dr. Ahmad Jazimin Jusoh dan Dekan FSKIK Profesor Dr. Mohd Fauzi Sedon @ M. Dom. turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran ini. Menurut mereka, “Program seumpama ini memberikan impak yang besar kerana berjaya menggabungkan elemen penyelidikan, kreativiti dan kesejahteraan emosi, sekali gus memperkukuh peranan UPSI sebagai universiti pendidikan yang prihatin terhadap pembangunan holistik masyarakat setempat.”

Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kreativiti, malah turut menekankan peranan seni sebagai salah satu kaedah alternatif untuk meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi. Inisiatif ini selari dengan usaha UPSI memperkukuh inovasi serta kreativiti dalam pendidikan, di samping menyokong pembangunan komuniti melalui aktiviti berteraskan seni.

Program ini dikoordinasikan oleh Penyelaras RISE@UPSI & Inovasi, Dr. Noor Hidayah Che Lah dengan sokongan Puan Suhaila sebagai urusetia serta seluruh warga RMIC. Komitmen mereka memastikan kelancaran sepanjang penganjuran dan memberi pengalaman yang bermakna serta menyeronokkan kepada semua peserta.