Oleh: Dr. Kama Shaffeei
Ipoh Perak, 25 Ogos 2025 – Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK ) Bitara UPSI dan Fakulti Pembangunan Manusia telah menganjurkan Bengkel Latihan Kemahiran Penyelia dan Petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Negeri Perak Fasa 1/2025 pada 25 Ogos bertempat di Kampus Kota UPSI, Meru Ipoh, Perak.
Bengkel latihan ini melibatkan seramai 60 orang peserta bersama-sama pegawai JKM semua daerah negeri Perak yang turut hadir.
Perasmian penutupan bengkel kemahiran ini disempurnakan oleh Encik Prakash Kumar A/L Rajagopal, Penolong Pengarah Kanan Bahagian OKU & Warga Emas, JKM Perak.
Dalam ucapannya beliau berkata, peserta perlu dibekalkan dengan latihan kemahiran ini supaya dapat membentuk generasi yang boleh menyumbang ke arah membangunkan negara Malaysia.
Semoga latihan kemahiran ini dapat membantu pihak PPDK negeri Perak bagi memacu generasi muda ke arah kecemerlangan potensi diri dan kemahiran kendiri yang tinggi.
Bengkel Latihan Kemahiran Penyelia dan Petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Negeri Perak Fasa 1/2025 diketuai oleh Dr Kama Shaffeei, Pengarah, Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (PiPP) UPSI bersama-sama Pensyarah Kanan yang lain iaitu Dr Mohd Syaubari Othman (Fakulti Pembangunan Manusia,UPSI), Dr Hasrul Hosshan (Fakulti Pembangunan Manusia) dan Profesor Madya Dr Mazarul Hasan Bin Mohamad Hanapi (Fakulti Pembangunan Manusia).
Turut hadir sama ialah Pn Azreen Binti Kamarudin (Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat, JKM Perak).
Sehubungan itu, Dr Kama Shaffeei juga memaklumkan latihan ini penting bagi membantu petugas-petugas PPDK dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan mengaplikasi idea dalam latihan kemahiran vokasional kepada pelatih PPDK.



Modul PPDK ini bertujuan sebagai garis panduan dalam memantapkan latihan kemahiran pelatih dengan pendekatan dan strategi yang bersesuaian dengan minat, tahap dan kecenderungan pelatih di PPDK.
Dengan adanya latihan kemahiran menggunakan modul ini, diharapkan proses pembelajaran pelatih lebih berkesan ke arah membentuk generasi yang boleh menyumbang ke arah membangunkan negara Malaysia.
Sebaliknya, potensi diri yang ada pada mereka perlu diketengahkan serta ditonjolkan supaya mereka dapat bersaing dalam masyarakat bersama-sama golongan yang lain.
Semoga latihan kemahiran menggunakan modul ini dapat membantu pihak PPDK bagi memacu generasi muda ke arah kecemerlangan potensi diri dan kemahiran kendiri yang tinggi.

