Tanjung Malim, 30 Ogos 2025 – Bersempena Hari Kebangsaan 2025, Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh, UPSI melalui Exco Perpaduan & Integrasi telah menganjurkan program NADA MERDEKAHS dengan slogan “Satu Nada, Satu Nadi”.

Program ini berlangsung secara dalam talian pada 17 – 27 Ogos 2025, menghimpunkan mahasiswa dari pelbagai IPT seluruh Malaysia.

Menariknya, program ini merupakan penjenamaan baharu daripada MERDEKAHS, menampilkan wajah segar yang menekankan suara, ekspresi dan kreativiti generasi muda dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan secara digital.

Antara pengisian utama ialah pertandingan Syair, Sajak dan Vine Merdeka (Video Kreatif) yang mendapat sambutan menggalakkan daripada mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selaku tuan rumah, serta penglibatan aktif mahasiswa daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya (IPG Kampus Gaya), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan universiti awam lain.

Kerjasama erat dengan pelbagai jawatankuasa mahasiswa turut mencerminkan semangat kebersamaan dalam meraikan kemerdekaan di peringkat nasional.

Acara kemuncak diserikan dengan ceramah khas “Satu Nada, Satu Nadi” oleh Dr. Muhammad Ridhwan bin Sarifin (Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI).

Beliau menegaskan bahawa generasi muda ialah nadi negara, yang berperanan menyemai nilai kemerdekaan untuk diwarisi generasi seterusnya.

Dr. Ridhwan turut memperkenalkan akronim JIWA sebagai panduan mahasiswa:

JJati Diri: Membina identiti bangsa melalui seni & budaya.

IInovasi: Memanfaatkan teknologi dalam ekspresi seni.

WWarisan: Memelihara nilai tradisi & sejarah kemerdekaan.

AAspirasi: Menyemai cita-cita patriotik masa depan.

Ceramah tersebut meninggalkan kesan mendalam, mengingatkan bahawa seni, inovasi dan perpaduan adalah nadi utama bangsa merdeka.

Majlis Mahasiswa KAHS UPSI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Diharapkan NADA MERDEKAHS menjadi medium untuk: memperkukuh nilai kebersamaan, mengeratkan semangat perpaduan, dan menyalakan jiwa patriotik Malaysia Madani dalam kalangan mahasiswa seluruh negara.