Tanjong Malim, 28 Ogos 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencipta sejarah gemilang apabila pasukan inovasi gabungan Pusat ICT dan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi berjaya meraih dua Pingat Emas berturut-turut dalam tempoh seminggu di pentas inovasi global.
Kejayaan berganda ini adalah menerusi pencapaian di Kuala Lumpur International Invention & Innovation Symposium (KL3IS 2025) dan Borneo International Technology Expo 2025 (BorneoInTEX 2025).
Istimewanya di KL3IS 2025, UPSI bukan sahaja meraih Pingat Emas, malah turut dianugerahkan Special Award – Top 5 Award (Ideator) dan Design Innovation Award, sekali gus mengiktiraf keunggulan GeoAttendance dari aspek kreativiti dan rekabentuk inovasi.


Menurut Ketua Pegawai Digital UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, kejayaan dua emas ini adalah simbol kerjasama erat antara Pusat ICT dan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi dalam membudayakan inovasi digital.
Sementara itu, Dr. Ahmad Wiraputra Selamat pula menegaskan bahawa pencapaian ini adalah hasil daripada budaya inovasi yang semakin sebati dalam kalangan warga UPSI.
“GeoAttendance bukan sahaja membuktikan kemampuan UPSI dalam membangunkan teknologi terkini, malah menjadi bukti bahawa warga universiti kita mampu menghasilkan penyelesaian kreatif yang relevan dengan cabaran semasa” katanya.
Kemenangan di KL3IS 2025 dan BorneoInTEX 2025 digerakkan oleh pasukan gabungan yang terdiri daripada Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, Dr. Ahmad Wiraputra Selamat, Ts. Abdul Mueiz Rosli, Encik Prabu Tharmalingam dan Encik Khairul Ikmal Ishak, yang terdiri daripada ahli PEKA (Persatuan Kakitangan Akademik), PRESTASI (Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UPSI) dan KPA (Kesatuan Pegawai Awam).
Menurut Ketua Kumpulan i-RAY Pusat ICT, Ts. Abdul Mueiz Rosli, pencapaian berganda ini membuktikan bahawa sasaran utama telah berjaya direalisasikan.
“Alhamdulillah, KPI untuk GeoAttendance telah dicapai. KPI yang ditetapkan oleh kumpulan ialah 5 pingat emas, dan pencapaian 6 emas ini adalah bonus buat kami. Fokus kami kini adalah misi kemuncak GeoAttendance di pentas antarabangsa iaitu ICQCC 2025 di Taiwan.


“Insya-Allah, selepas itu gabungan Pusat ICT dan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi akan terus mengorak langkah dengan mengketengahkan produk baharu pada pertandingan yang akan datang” jelasnya.
Sehingga kini, GeoAttendance telah berjaya meraih 6 pingat emas yang terdiri daripada:
- 5 Pingat Emas Antarabangsa – KL3IS 2025 (beserta Special Award: Top 5 Award – Ideator & Design Innovation Award), BorneoInTEX 2025, EduInnovate 2025, iDRIVE 2025 dan IAM 2024
- 1 Pingat Emas Kebangsaan – VICE 2024 (beserta Johan Kategori Pentadbiran)
Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan reputasi GeoAttendance sebagai inovasi digital berimpak tinggi yang lahir daripada UPSI untuk masyarakat dan negara.
