Oleh: Noraini Aminuddin
Dalam landskap kewangan Islam di Malaysia, nama Lt Kol (B) Hj Mohamad Ali Roshidi Ahmad, seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bukanlah asing lagi.
Dengan lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang pendidikan dan kewangan, beliau telah memainkan peranan penting dalam memperkasa kefahaman masyarakat terhadap isu-isu berkaitan faraid, perancangan harta pusaka, dan cukai pendapatan.
Mendapat pendidikan tinggi dalam bidang Perakaunan dan Pembangunan Sumber Manusia, beliau memulakan kerjayanya sebagai guru di Pusat Matrikulasi Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 1991.
Pada tahun 2000, beliau menyertai UPSI sebagai pensyarah dan sejak itu aktif membangunkan bidang akademik, kokurikulum dan latihan profesional. Kepakarannya meliputi tiga bidang utama: perancangan kewangan Islam, faraid, dan pengurusan cukai.
Beliau bukan sekadar seorang akademik, malah turut dikenali sebagai penceramah dan fasilitator yang aktif di lapangan.



Sepanjang kerjayanya, beliau telah menyampaikan ratusan ceramah berkaitan pengurusan harta pusaka di masjid, sekolah dan jabatan kerajaan di sekitar Muallim, Hulu Selangor dan Rawang.
Khusus dalam bidang faraid, beliau menjadi rujukan tetap masyarakat setempat, termasuk imam-imam daerah Muallim dalam pelbagai bengkel dan kursus anjuran pelbagai pihak.
Penglibatan beliau tidak terhenti di peringkat tempatan. Beliau turut dijemput sebagai ahli panel forum antarabangsa berkaitan perbankan Islam, termasuk di forum anjuran Harmoni FM98.1, Kota Serang, Banten, Indonesia.
Sebagai fasilitator kursus kepada calon-calon Shariah RFP anjuran Malaysian Financial Planning Council (MFPC), beliau juga menyumbang secara langsung dalam pembangunan profesional perancang kewangan berteraskan Syariah.
Beliau juga terlibat aktif dalam program-program latihan seperti bengkel e-Filing untuk tahun taksiran 2021 hingga 2024, memperlihatkan komitmennya dalam membantu masyarakat memahami dan mengurus tanggungjawab cukai mereka dengan lebih berkesan.
Hasil penulisan beliau turut mendapat perhatian media arus perdana dan jurnal berindeks. Artikel-artikelnya yang menyentuh isu-isu seperti hibah, wasiat, harta sepencarian dan pengurusan harta pusaka Islam telah diterbitkan oleh Bernama Online dan Berita Harian.
Antara tajuk yang mendapat perhatian termasuk “Hibah: Instrumen Perancangan Harta Pusaka Islam”, “Masa Sesuai Cairkan Harta Pusaka Beku”, dan “Isteri Berhak Tuntut Harta Sepencarian Selepas Kematian Suami”.
Dalam aspek profesional, beliau merupakan Ahli Bersekutu Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan juga Perancang Kewangan Berdaftar di bawah MFPC.
Kepakaran ini melengkapkan peranannya sebagai pendidik dan penasihat yang bukan sahaja memahami teori tetapi juga aplikasi praktikal dalam konteks kewangan Islam.


Di samping kerjaya akademik, beliau juga pernah berkhidmat dalam Rejimen Askar Wataniah selama hampir 40 tahun dan menamatkan perkhidmatannya dengan pangkat Leftenan Kolonel.
Beliau juga pernah menjadi pengadil badminton kebangsaan di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) antara tahun 2005 hingga 2012.
Keperibadian beliau yang merendah diri dan komitmen tinggi dalam menyampaikan ilmu menjadikan beliau antara tokoh akademik yang disegani di UPSI dan dalam kalangan masyarakat umum.
Melalui ceramah, tulisan dan penglibatan masyarakat, Lt Kol (B) Hj Mohamad Ali Roshidi terus menyumbang secara berterusan ke arah memperkukuh kefahaman dan amalan pengurusan harta pusaka Islam di negara ini.

