Oleh: Noraini Aminuddin dan Dr. Ramdzan Ali Saibon
TANJUNG MALIM, 24 September 2025 – Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Seminar Penyelidikan Kebangsaan 2025 (SPK 2025) pada hari ini secara hybrid, bertempat di Bilik Bursa, Blok 10, Kampus Sultan Azlan Shah.
Dengan tema “Memperkasa Penyelidikan dan Pembangunan Melalui Inovasi dan Integrasi Kecerdasan Buatan (AI)”, seminar ini telah menghimpunkan pembentang artikel dan inovasi dari UPSI dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara daripada pelbagai latar belakang akademik.



Menurut Dekan FPE, Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor, seminar kali ini mengangkat tema yang sangat relevan dengan landskap dunia bagi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang penyelidikan.
“Tema ini amat bertepatan dengan cabaran era Revolusi Industri 4.0, di mana AI bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan yang juga berperanan sebagai pemangkin yang memperkayakan ilmu, merangsang idea baharu dan memacu penyelidikan berimpak tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa”, ujar beliau semasa merasmikan seminar ini.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan seminar ini, khususnya rakan strategik iaitu HELP University, Maths Proofread, Spectrum International University College dan Global Academic Excellence.



Naib Canselor HELP University, Profesor Dr. Liew Teik Kooi (Andy) berperanan sebagai ucaptama semasa pembukaan perasmian seminar ini. Turut menyampaikan perkongsian ialah Naib Canselor Hensard University, Profesor Dr. Dileep Kumar M., Pensyarah Kanan UPSI, Dr. Muhamad Hariz Muhamad Adnan dan Pensyarah Kanan London South Bank University, Dr. Arsalan Mujahid Ghouri.
Seminar ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara ahli akademik, pelajar dan pengamal industri melalui perkongsian hasil penyelidikan dalam bidang ekonomi, pengurusan, keusahawanan, perakaunan dan bidang lain yang merentas disiplin.
Selain menjadi platform percambahan ilmu, SPK 2025 juga menyokong agenda universiti untuk meningkatkan pencapaian dalam Malaysia Research Assessment (MyRA), SETARA dan QS Ranking serta memberi peluang kepada peserta untuk menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal berindeks MyCite yang diterbitkan oleh FPE.



Pengarah Program SPK 2025, Profesor Madya Ts. Dr. Kesavan A/L Nallaluthan juga telah mempromosikan seminar ini bersama Profesor Andy Liew Teik Kooi di Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bertajuk “AI & SPK2025: Kuasa Baharu Dunia Penyelidikan yang telah bersiaran pada 21 september yang lalu.
Antara keunikan SPK 2025 adalah penyertaan yang terbuka kepada pelajar pasca-siswazah dengan yuran yang berpatutan serta format pembentangan dan pertandingan inovasi yang lebih fleksibel serta interaktif.
SPK yang mula dianjurkan sejak beberapa tahun lalu telah mencatatkan kejayaan yang membanggakan dan terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penyelidik muda dan pensyarah IPT. Justeru, penganjur yakin SPK tahun ini akan terus memberi impak positif kepada perkembangan penyelidikan dan budaya penerbitan ilmiah di UPSI dan peringkat kebangsaan.

