Oleh: Nur Alisya Hana Hussin, Muhamad Aidill Adha Zulies & Dr. Mohamad Zarkhuan Zainol
Tanjung Malim, 3 September 2025 – Seramai tujuh orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengelola Explorace Merdeka Islamik yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City (SMKPC), Perak. Program ini merupakan anjuran bersama Persatuan Pendidikan Islam (PPI) UPSI sesi 2024/2025 dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Islam SMKPC, Unit Kokurikulum SMKPC, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKPC dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC).
Sebelum aktiviti Explorace Merdeka Islamik bermula, para peserta terlebih dahulu menjawab ujian pra berkaitan solat bagi menilai tahap pengetahuan asas mereka mengenai ibadah tersebut. Ujian ini menjadi kayu ukur bagi menilai keberkesanan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program.
Explorace Merdeka Islamik merupakan pertandingan yang menggabungkan elemen pendidikan ibadah solat dengan penghayatan nilai kemerdekaan Malaysia melalui cabaran interaktif. Peserta bergerak secara berkumpulan mengikut laluan yang ditetapkan dan perlu menyelesaikan tujuh checkpoint tugasan yang direka untuk menguji pengetahuan, kemahiran serta kreativiti mereka.




Selain menguji kecerdasan minda dan kecekapan praktikal, aktiviti ini turut memupuk kerjasama berpasukan, daya saing sihat, kreativiti serta kecintaan kepada agama dan negara. Dengan kombinasi pembelajaran digital, amali ibadah dan elemen patriotik, program ini diharap dapat melahirkan generasi pelajar celik ibadah, berjiwa patriotik serta mampu menghayati makna kemerdekaan dan nilai Islam secara menyeluruh.
Program Eksplorasi Solat dan Kemerdekaan Malaysia dilaksanakan bagi meningkatkan penghayatan ibadah solat di samping memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Melalui aplikasi digital interaktif Muallim-Explore Solat dan aktiviti explorace, peserta berpeluang mempelajari ibadah secara praktikal, menyeronokkan dan lebih berkesan.
Dalam masa yang sama, elemen kemerdekaan seperti tugasan menghasilkan bendera Malaysia dan kuiz sejarah turut diselitkan bagi memperkukuh identiti kebangsaan, menanam rasa cinta tanah air serta meningkatkan kesedaran terhadap pengorbanan pejuang terdahulu. Program ini selaras dengan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan kemahiran berfikir kritis, komunikasi, kolaborasi dan kreativiti, di samping membentuk nilai murni seperti kerjasama, disiplin dan integriti.
Secara keseluruhannya, Explorace Merdeka Islamik menjadi wadah pembelajaran interaktif yang mengimbangi aspek agama dan patriotisme, membuktikan bahawa penghayatan solat dan semangat kemerdekaan dapat diperkasa melalui pendekatan inovatif, menyeronokkan dan berimpak tinggi.
