Oleh: Dr.Intan Suria Hamzah & Dr.Nadirah Mohd Azmi

Kuala Lumpur, 7 September 2025 – Pendaftaran pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2025 menandakan bermulanya perjalanan wiramuda dalam membina disiplin, patriotisme dan jati diri. Generasi inilah yang bakal menjadi harapan bangsa, pemangkin kepada masa depan negara yang lebih gemilang. PLKN 3.0 Siri 3/2025 telah menerima pendaftaran wiramuda seramai 529 orang pelatih dan dijangka angka ini akan bertambah dari semasa ke semasa.

Mereka ini telah melapor diri di dua kem Askar Wataniah iaitu Kem Rejimen 515, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505, Pekan Pahang, sekali gus PLKN Siri 3 adalah siri percubaan terakhir bagi tahun ini. Sehingga jam 12.30 tengah hari, pendaftaran wiramuda PLKN 3.0 Siri 3/2025 merekodkan 279 peserta lelaki telah mendaftar di Kem Rejimen 505, Pekan Pahang dan 250 peserta wanita mendaftar di Kem Rejimen 515, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, lebih separuh daripada jumlah pelatih yang hadir dan mendaftar bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2025 adalah atas kerelaan sendiri, iaitu melebihi 50 peratus daripada keseluruhan penyertaan.

Menurut beliau, perkara ini membuktikan belia Malaysia memiliki semangat juang dan patriotisme yang tinggi, di samping menunjukkan penerimaan positif generasi muda terhadap program berkenaan. Malah, pelatih yang telah menyertai Siri 1 dan 2 juga menzahirkan kesungguhan untuk terus mengikuti PLKN.

PLKN Siri 3 menyasarkan penyertaan seramai 700 pelatih, namun jumlah itu dijangka meningkat memandangkan proses pendaftaran masih dibuka sehingga minggu hadapan.

Hasil kajian Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mendapati peserta sukarela PLKN 3.0 Siri 3/2025 hadir atas dorongan keluarga atau rakan yang pernah mengikuti Siri 1 dan 2. Perkara ini sekali gus membuktikan keberkesanan maklum balas positif terhadap program rintis berkenaan.

JLKN menyasarkan lebih 8,000 wiramuda akan menyertai PLKN 3.0 pada tahun hadapan, tidak termasuk program yang dijalankan di universiti, politeknik dan Institut Pendidikan Guru. Bagi memastikan lebih ramai belia mendapat peluang mengikuti latihan ini, PLKN dijangka diperluas pada tahun 2026 dengan penambahan 10 kem baharu termasuk di Gemas (Negeri Sembilan), Tawau (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Pendaftaran PLKN 3.0 Siri 3/2025 membuktikan semangat juang golongan wiramuda yang tampil secara sukarela demi membina jati diri, disiplin dan semangat patriotisme. Seramai 529 pelatih kini mengikuti latihan di dua kem Askar Wataniah, manakala jumlah penyertaan dijangka terus meningkat pada siri akan datang.

Penerimaan positif masyarakat terhadap program ini menegaskan bahawa PLKN kekal relevan sebagai platform pembangunan belia negara melalui Modul Kenegaraan dan Ketenteraan. Program ini diharap mampu melahirkan “wiramuda, harapan bangsa” yang berdaya saing serta cintakan negara.