Oleh: Puan Nora Liza Abdul Kadir
Tanjong Malim, 9 September 2025 — Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) dengan kerjasama Excelerate telah berjaya menganjurkan K-Youth Program Track C Sesi 1 dan Sesi 2, satu inisiatif strategik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam memperkasa peranan pensyarah sebagai Penasihat Kerjaya Fakulti.
Sesi pertama berlangsung pada 20 – 21 Februari 2025 secara bersemuka di Smart Classroom 1, Blok 4, Kampus Sultan Azlan Shah.
Seramai 20 pensyarah terpilih daripada pelbagai fakulti hadir bagi mengikuti sesi intensif ini. Cik Pearly Toh Swee Ling daripada Excelerate memimpin sesi perkongsian yang menggabungkan analisis pasaran kerja terkini, aktiviti berkumpulan dan simulasi situasi sebenar.

Pensyarah diberikan pendedahan tentang trend pekerjaan global, kemahiran paling dicari oleh majikan, dan kaedah menyusun pelan pembangunan kerjaya pelajar berasaskan data.
Pendekatan ini memperkukuh peranan pensyarah sebagai pemudah cara pembangunan kerjaya, selaras dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan graduan yang berdaya saing dan memenuhi kehendak industri.
Sesi kedua pula diadakan secara dalam talian pada 8 September 2025 dengan memberi penekanan kepada aspek teknikal dan transformasi digital.
Peserta dibimbing secara mendalam tentang penulisan resume berimpak tinggi melalui teknik result-oriented formatting yang menekankan pencapaian kuantitatif dan kekuatan kompetensi pelajar.
Selain itu, mereka turut mempelajari strategi mengoptimumkan akaun LinkedIn profesional bagi meningkatkan kebolehlihatan kepada algoritma perekrut dan peluang pekerjaan di peringkat global.
Tidak ketinggalan, peserta juga didedahkan dengan teknik pra-, semasa, dan pasca-temuduga, termasuk cara bersedia menghadapi penilaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang kini banyak digunakan oleh syarikat bagi menapis calon terbaik.
Menurut Timbalan Pengarah EDGE, Dr. Siti Shuhaida Shukor, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha universiti untuk membina ekosistem bimbingan kerjaya yang mampan dengan mengangkat peranan pensyarah sebagai pemacu utama kebolehpasaran graduan.
“EDGE bukan sahaja memberi fokus kepada sokongan terhadap pelajar dan graduan, malah juga kepada kakitangan akademik yang merupakan antara pemegang taruh penting dalam memastikan ekosistem kebolehpasaran graduan dapat diperkasakan.
Melalui program ini, kami membekalkan pensyarah dengan kemahiran teknikal dan perspektif industri terkini supaya mereka dapat membimbing pelajar dengan lebih berkesan, seterusnya melahirkan graduan UPSI yang bersedia bersaing di peringkat global,” katanya.
K-Youth Program Track C akan diteruskan dengan Sesi 3, yang merangkumi lawatan industri dan pusat kerjaya bagi memberi pendedahan langsung tentang keperluan sebenar pasaran pekerjaan.


Setelah tamat kesemua siri latihan ini, para pensyarah akan dilantik secara rasmi sebagai Penasihat Kerjaya Fakulti dan berperanan sebagai rakan strategik UPSI dalam membantu pelajar mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam pekerjaan.
Dengan pelaksanaan program ini, UPSI melalui EDGE memperkukuh komitmennya untuk mendepani cabaran kebolehpasaran graduan secara holistik — bukan sahaja membangunkan kemahiran pelajar, tetapi juga memperkasa pensyarah sebagai agen perubahan dalam ekosistem pembangunan kerjaya universiti.

