Oleh: Nur Nabilah Nazri

Johor Bahru – Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 3.0 yang diadakan pada 1 hingga 4 September 2025 di Persada Johor International Convention Centre, telah berlangsung dengan jayanya, justeru, menjadi medan berprestij peringkat kebangsaan dalam mengetengahkan kreativiti dan inovasi digital dalam kalangan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Program ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan menyaksikan penyertaan yang memberangsangkan daripada para pelajar seluruh negara.

Seramai 320 pelajar dan pensyarah IPT termasuk Indonesia, Thailand dan Brunei telah mempersembahkan 64 projek inovasi digital.

 DICE 3.0 mempertandingan empat kategori utama yang merangkumi animasi pendek, filem pendek, aplikasi interaktif media (VR/AR) dan aplikasi permainan digital dengan membawa ‘Air’ sebagai tema projek para peserta. Setiap IPT dibenarkan menghantar dua penyertaan sahaja dalam dua kategori berbeza.

Sehubungan itu, Pihak Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) telah menghantar 2 kumpulan pelajar dari Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) bagi menyertai kategori Animasi Pendek dan Filem Pendek.

Pasukan UPSI, Grill Creative, telah dinobatkan sebagai Naib Juara bagi Kategori Animasi Pendek dengan membawa pulang geran KPT sebanyak RM 5,000 serta menerima Pingat Emas.

Sementara itu, pasukan UPSI, Spark Studio, bagi Kategori Filem Pendek telah berjaya tersenarai dalam ‘Top 5’ projek inovasi digital terbaik serta menerima ‘Best AI-Creative Poster Award’ dan Pingat Emas bagi keseluruhan.

Majlis Perasmian Penutupan DICE 3.0 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT.

Dengan kejayaan DICE 3.0, pertandingan ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat digital tempatan serta menggalakkan lebih ramai pelajar untuk melangkah ke dunia keusahawanan teknologi secara berterusan.

Tambahan, ia juga selari dengan usaha negara dalam memperkasa ekonomi digital dan memupuk generasi muda yang inovatif, berdaya saing dan berwawasan global.