Oleh: Dr. Siti Shuhaida Shukor dan Puan Nora Liza Abdul Kadir

Tanjong Malim, 11 September 2025 — Bengkel Mock Interview SPP 2025 Siri 3 anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan & Kebolehpasaran Graduan (EDGE) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung secara dalam talian malam tadi, dari 8.30 malam hingga 10.00 malam.

Bengkel ini dihadiri oleh hampir 400 pelajar dan graduan UPSI dan bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh tentang proses temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi lantikan jawatan Guru Interim atau Contract of Service (CoS).

Penceramah utama, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus, yang kini menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI, berkongsi strategi persediaan calon sebelum temuduga.

Menurut beliau, calon bukan sahaja perlu bersedia dari segi akademik, tetapi juga memahami isu semasa, menguasai bidang pengajian, dan menonjolkan personaliti serta komunikasi berkesan bagi meyakinkan panel.

Peserta turut diberi gambaran realistik tentang format temuduga yang lazimnya dijalankan secara berkumpulan tetapi dinilai secara individu.

Dr. Ridzwan turut menasihatkan calon supaya menjadi orang pertama menjawab soalan untuk menunjukkan keyakinan dan kawalan diri, namun mengingatkan agar memberi ruang kepada calon lain supaya sesi lebih seimbang.

Graduan Matematik UPSI, Ahmad Syahmi Syakirin Bin Zulkepli, yang turut menyertai bengkel ini, berkongsi pengalamannya ketika menghadiri temuduga SPP baru-baru ini.

Menurutnya, calon lazimnya diuji dengan soalan berkaitan isu semasa dan kemahiran dalam bidang pengajian.

“Antara soalan yang saya terima sebelum ini berkait rapat dengan perkembangan dasar pendidikan serta aplikasi pedagogi Matematik dalam bilik darjah.

“Apa yang disampaikan oleh Dr. Ridzwan memang tepat — pengetahuan tentang isu semasa dan penguasaan bidang pengajian sangat penting. Dua aspek ini menjadi penentu sama ada calon dapat menonjolkan diri atau sebaliknya,” katanya.

Selain itu, bengkel ini turut memperkenalkan teknik memperkenalkan diri secara kreatif menggunakan konsep “kod diri 100”, di mana calon dapat menyerlahkan keunikan diri masing-masing semasa sesi perkenalan.

Peserta juga dilatih untuk mengaitkan jawapan dengan dasar pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) serta mengamalkan teknik komunikasi berkesan seperti menjaga kontak mata, mengawal bahasa tubuh dan penyampaian yang tersusun bagi meningkatkan keyakinan di hadapan panel.

Peserta yang hadir menyifatkan bengkel ini sebagai pendedahan realistik yang membantu meningkatkan keyakinan diri untuk menghadapi temuduga sebenar.

Simulasi suasana temuduga, perkongsian pengalaman sebenar, dan tip praktikal menjadikan mereka lebih bersedia dan kompeten sebagai calon pendidik.

Bengkel Mock Interview SPP 2025 Siri 3 ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan EDGE untuk memperkasa kebolehpasaran graduan UPSI, selaras dengan aspirasi universiti melahirkan pendidik profesional, berintegriti dan berdaya saing.