Oleh: Puan Nora Liza Abdul Kadir
TANJONG MALIM, 23 September 2025 – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) telah menganjurkan Bengkel Survei Pengalaman Pelajar di Institusi (SPPdI) dan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2025 di Dewan Muallim, Scholar Suite, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).Peserta bengkel terdiri daripada Timbalan-timbalan Dekan Fakulti, Ketua-ketua Jabatan Fakulti dan ahli-ahli OPS GE.
Objektif penganjuran bengkel ini ialah untuk menyampaikan kepada peserta bengkel proses dan gerak kerja yang akan dilakukan oleh setiap fakulti bagi meningkatkan Kadar Bekerja Graduan (Graduate Employment – GE) dan Kadar Kebolehpasaran Graduan (Graduate Marketability – GM) UPSI.



Dalam ucapan perasmian, Pengarah EDGE, Profesor Madya Dr. Sharul Effendy Janudin, menekankan bahawa fakulti memegang peranan penting dalam memastikan graduan benar-benar bersedia sebelum memasuki pasaran kerja.
Beliau menegaskan bahawa pengisian instrumen SPPdI dan SKPG amat penting kerana data yang diperoleh akan menjadi panduan strategik dalam memperkukuh kualiti program akademik serta menyokong graduan mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan mereka.
Timbalan Pengarah EDGE, Dr. Siti Shuhaida Shukor, turut berkongsi analisis terkini berdasarkan data rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau menekankan kepentingan fakulti meneliti maklum balas graduan dan menggunakan dapatan tersebut untuk memperkukuh kurikulum serta program sokongan, agar graduan UPSI terus relevan dan kompetitif di pasaran kerja.
Bengkel ini turut menampilkan taklimat khas daripada Ts. Puan Salwati Badroddin, Timbalan Setiausaha Bahagian (Seksyen Data), Bahagian Perancangan Strategik, KPT.
Beliau menjelaskan fungsi instrumen SPPdI dan SKPG serta bagaimana kedua-duanya digunakan untuk mengumpul maklumat pengalaman pelajar dan graduan.


Sesi ini membolehkan peserta berinteraksi secara langsung dengan KPT, mendapatkan penjelasan serta memberi maklum balas bagi penambahbaikan instrumen.
Secara keseluruhan, bengkel SPPdI & SKPG 2025 memberi pencerahan kepada fakulti mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam memperkukuh ekosistem kebolehpasaran graduan.
Melalui kerjasama erat antara universiti, fakulti dan KPT, UPSI komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berdaya saing, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran global.
