Oleh: Rozak Hadi

Johor Bahru, 28 September 2025– Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan penganjuran karnival bersejarah melibatkan murid berkeperluan pendidikan khas terbanyak dalam satu acara.

Melalui acara Karnival Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Pringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung bermula 26 hingga 28 September 2025 di Toppen Shopping Centre telah menghadirkan seramai 5489 peserta sekaligus menjadikan acara ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Largest Special Needs Turnout in a Carnival”.

Sijil pengiktirafan rasmi disampaikan oleh wakil rasmi MBOR, Siti Hajar Johor kepada Pengarah Pendidikan JPN Johor, Mohd Hanafi Samad bersama Pengarah Bahagian Profesionalisme Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia, Rohayati Abd Hamed. Sijil ini menandakan pencapaian yang membanggakan dalam usaha memperkasa kebolehpasaran MBPK di negara ini.

Pengarah Bahagian Profesionalisme Guru KPM menyatakan bahawa kejayaan ini bukan sekadar pencapaian angka, tetapi juga satu simbol sokongan, penghargaan dan keterangkuman terhadap murid berkeperluan pendidikan khas.

“Ini adalah bukti bahawa dengan sokongan yang padu daripada semua pihak iaitu guru, ibu bapa, komuniti dan kerajaan, sudah pasti murid berkeperluan pendidikan khas mampu menyerlah dan diberi ruang yang besar untuk memberi manfaat dalam arus masyarakat,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Penutupan Karnival Kebolehpasaran Murid Berkepeluan Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2025.

Karnival ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan artis tanah air, pertandingan peringkat kebangsaan, pameran hasil karya kreatif, program komuniti, pameran inovasi, jualan produk sekolah serta reruai interaktif daripada agensi dan pertubuhan yang menyokong pendidikan khas.

Penglibatan aktif MBPK dari pelbagai negeri dalam acara ini menandakan komitmen negara dalam menyemai nilai inklusiviti dan menghargai kebolehan individu tanpa mengira latar belakang atau keupayaan. Kejayaan penganjuran program ini adalah bukti komited dalam melestarikan budaya cemerlang pendidikan dalam menerajui kebolehpasaran MBPK.