Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menandatangani buku pelawat NCDRC UPSIMenteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menandatangani buku pelawat NCDRC UPSI

Oleh: Jamilah Mohd Basir

TANJONG MALIM, 4 Oktober 2025 — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini melawat Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bagi meninjau pelaksanaan dasar dan penyelidikan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.

Lawatan itu mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memperkukuh pendidikan awal berasaskan penyelidikan dan bukti ilmiah di negara ini.

Sempena lawatan berkenaan, Fadhlina turut meninjau TADIKA Bitara NCDRC yang mencatat sejarah sebagai tadika pertama di Malaysia menerima pengiktirafan Associated Schools Network (ASPNet) daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata pengiktirafan itu membuktikan kemampuan UPSI dan NCDRC dalam melaksanakan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) yang mendidik kanak-kanak mengenai tanggungjawab menjaga alam sekitar dan kesedaran global sejak usia awal.

“Fasiliti lengkap TADIKA Bitara UPSI yang disediakan dalam persekitaran pembelajaran kondusif menyokong pelaksanaan aktiviti ESD secara efektif untuk dijadikan rujukan amalan terbaik,” katanya ketika ditemui selepas lawatan berkenaan.

Ketibaan Fadhlina disambut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff bersama barisan pengurusan tertinggi universiti termasuk Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Norkhalid Salimin; Pengarah, Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus ;Bendahari,  Mohamad Najib Mohamed serta Pengarah NCDRC, Prof Madya Dr Mazlina Che Mustafa.

Fadhlina turut meluangkan masa bersama kanak-kanak dan ibu bapa dalam aktiviti bertemakan “Haiwan Pupus” yang berteraskan ESD selain meninjau kemudahan seperti Children Learning Centre, Kids Kitchen, Edible Garden, Sanative Playroom dan Bilik Snoezelen.

Beliau turut diberi taklimat mengenai National Child Data Centre (NCDC) yang merekodkan lebih 424,000 data kanak-kanak berumur 0 hingga 4 tahun serta melibatkan lebih 12,000 TASKA di seluruh negara bagi membantu perancangan dan pemantauan program pendidikan awal.

Fadhlina ketika menyaksikan aktiviti di CLC
Fadhlina ketika menyaksikan aktiviti di Kids Kitchen
Prof Madya Dr Mazlina (kanan) menyambut ketibaan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di NCDRC UPSI

Selain itu, sistem MySCREEN (Malaysia Psychometric Inventory for Care and Education) yang dibangunkan penyelidik UPSI turut dikongsikan kepada Fadhlina sebagai inisiatif memperkukuh kualiti asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr Md Amin menzahirkan penghargaan atas kehadiran Fadhlina serta menegaskan peranan NCDRC sebagai pusat rujukan antarabangsa yang memperkukuh rangka kerja pendidikan negara.

“NCDRC terus memainkan peranan penting sebagai rujukan antarabangsa sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia dalam rangka kerja pendidikan negara,” katanya.

Sementara itu, Prof Madya Dr Mazlina dalam kenyataannya berkata, pihaknya berharap kerjasama strategik antara KPM dan UPSI dapat terus diperkukuh dalam memperluas latihan profesional guru pendidikan awal, pembangunan modul baharu serta pelaksanaan ESD di peringkat awal kanak-kanak.