Tanjong Malim, 7 Oktober 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2025/2026 telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana di Dewan Harun Aminurrashid.
Program ini diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan bersama penghuni beragama Islam serta mendoakan segala urusan para pelajar sepanjang menjadi mahasiswa dipermudahkan.
Pada kesempatan program ini, doa turut dipanjatkan agar pejuang Global Sumud Flotilla (GSF)sentiasa dilindungi dan segala urusan mereka berjalan dengan lancar.
Program ini dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Muhammad Rizq Iman Firdaus Muslin yang merupakan Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2025/2026. Selepas selesai solat Maghrib, majlis diteruskan lagi dengan solat hajat secara berjemaah.



Selesai solat Maghrib dan solat hajat secara berjemaah, majlis diteruskan dengan bacaan surah Yasin yang dipimpin oleh Nazrul Afiq Roslan serta Solat Isyak berjemaah dan bacaan surah Al-Mulk dipimpin oleh Muhammad Aniq Daud merangkap Yang Dipertua Majlis Tertinggi Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2025/2026 bagi menambah pengisian penghayatan dan kerohanian.
Kehadiran penghuni kolej ke majlis ini menjadikan suasana lebih syahdu dan penuh keinsafan, selari dengan tema “Munajat Hati, Meraih Restu Ilahi”.


Program diteruskan dengan slot ucapan Felo Penasihat, Encik Hazman Ya’akob dan ucapan daripada Pengarah Program Bersama, Muhammad Rizq Iman Firdaus Muslin yang menekankan kepentingan ukhwah dan perpaduan dalam kalangan penghuni kolej.
Dalam ucapan beliau, beliau turut menyampaikan doa agar setiap urusan penghuni Kolej Harun Aminurrashid dipermudahkan dan diberkati sepanjang semester ini.
Program ini juga diselitkan dengan slot bersama-sama Kelab Sahabat Ulul Albab yang dipimpin oleh Muhammad Nor Afzan Emran, Yang Di-Pertua Kelab Sahabat Ulul Albab Sidang 2024/2025.


Beliau memberi sedikit pendedahan berkenaan skop tugas serta pencapaian Pusat Ulul Albab dan Kelab Sahabat Ulul Albab. Beliau juga mempromosikan kelab berkenaan kepada pelajar ambilan baharu.
Majlis ini diakhiri dengan sesi fotografi bersama-sama semua peserta yang hadir bagi memeriahkan majlis ini.
