Oleh : Sapura Mohd Masdin, Nurul Syuhada Rosli dan Nur Haziqah Mohd Zaidi

Tanjong Malim, 6 Oktober – Suasana di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kembali meriah apabila seramai 2,548 pelajar senior Ijazah Sarjana Muda Sidang 2025/2026 berjaya mendaftar masuk pada 4 dan 5 Oktober 2025. Kehadiran pelajar-pelajar ini menandakan bermulanya satu lagi fasa pengajian dengan semangat baharu di kolej kediaman tertua UPSI tersebut.

Proses pendaftaran yang melibatkan urusan semakan dokumen, penerimaan rasmi serta penempatan pelajar berjalan lancar dan teratur hasil kerjasama erat pelbagai pihak. Pentadbiran Kolej KHAR bersama-sama barisan Felo, Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) serta ahli jawatankuasa yang dilantik telah berganding bahu memastikan setiap aspek pengurusan dilaksanakan dengan cekap.

Komitmen yang diberikan oleh semua warga kerja ini bukan sahaja mempercepatkan proses pendaftaran, malah membantu mencipta pengalaman positif buat pelajar senior yang kembali ke kampus selepas cuti semester. Kehadiran mereka telah menyuntik kembali suasana ceria dan dinamik di kawasan kolej.

Pihak pentadbiran KHAR turut menzahirkan penghargaan kepada semua individu yang telah memberikan sumbangan dalam menjayakan kelancaran pendaftaran ini. Menurut wakil pengurusan kolej, kejayaan pendaftaran kali ini mencerminkan kekuatan semangat setiakawan dan kebersamaan seluruh warga KHAR.

“Kesepaduan antara pentadbiran, felo, mahasiswa serta jawatankuasa yang terlibat telah membuktikan bahawa budaya kerja berpasukan menjadi teras kepada kecemerlangan pengurusan kolej,” ujar seorang wakil pentadbiran ketika ditemui.

Selain memastikan kelancaran operasi, pendaftaran kali ini juga memberi peluang kepada MMK dan AJK yang terlibat untuk mengasah kemahiran kepimpinan serta meningkatkan keupayaan menguruskan acara berskala besar. Penglibatan mahasiswa secara langsung dalam urusan pentadbiran kolej ini sejajar dengan usaha UPSI untuk membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berketerampilan dalam aspek pengurusan dan kepimpinan.

Dengan semangat baharu yang dibawa oleh pelajar senior, KHAR dijangka terus menjadi wadah penting dalam melahirkan mahasiswa berdisiplin, berdaya saing serta beridentiti sebagai Anak Kandung Suluh Budiman. Kehadiran mereka diyakini akan memeriahkan lagi suasana kampus sekaligus memperkukuh imej UPSI sebagai institusi pendidikan yang unggul.