Oleh: MUHAMAD SUFIAN MOHAMAD SAIDI
TANJONG MALIM, 11 Oktober 2025 – Kelab Al-Mursyidin Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Annual Grand Meeting (AGM) bagi sidang 2024/2025 bertemakan “Memimpin dengan Hikmah, Beramal dengan Tadhiyyah” bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3, UPSI.
Program anjuran Kelab Al-Mursyidin dengan kerjasama Pusat Islam UPSI dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) ini menghimpunkan hampir 200 orang peserta, terdiri daripada barisan kepimpinan Kelab Al-Mursyidin sidang 2024/2025, alumni pimpinan terdahulu, sekretariat, ahli kelab serta ahli PINTAR AMC.



Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Sultan Perak dan nasyid Asmaul Husna, diikuti bacaan doa serta persembahan tilawah al-Quran.
Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada Presiden Kelab Al-Mursyidin sidang 2024/2025, diikuti ucapan perasmian oleh Yang Berusaha Ustaz Mohd Ali Abd Malek, Penasihat Kelab Al-Mursyidin, yang mewakili Pengarah Pusat Islam UPSI.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kepimpinan dalam organisasi Islam merupakan amanah yang besar dan memerlukan hikmah serta keikhlasan dalam setiap tindakan.



Ustaz Mohd Ali turut menyeru agar para pimpinan baharu meneladani nilai-nilai kepimpinan Rasulullah SAW yang berasaskan syura, keadilan, dan pengorbanan, di samping meneruskan kesinambungan dakwah dan tarbiah yang menjadi teras utama perjuangan Kelab Al-Mursyidin di kampus.
Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah penghargaan kepada pimpinan dan ahli yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang sidang 2024/2025, disusuli gimik dan montaj perasmian yang memaparkan perjalanan dan pencapaian kelab sepanjang tahun tersebut.



Sesi fotografi bersama tetamu kehormat dan ahli kelab turut diadakan sebagai simbolik ukhuwah dan kesyukuran.
Agenda mesyuarat seterusnya menyaksikan pembentangan Laporan Aktiviti Tahunan dan Laporan Kewangan bagi sidang 2024/2025.
Seterusnya, majlis menyaksikan pembubaran rasmi saf kepimpinan lama serta pelantikan Tanzim baharu Kelab Al-Mursyidin sidang 2025/2026, yang diharap dapat meneruskan legasi kepimpinan berasaskan nilai Islam dan semangat kebersamaan.
Program yang berakhir sekitar jam 11.00 malam itu berjalan dengan lancar dan penuh semangat ukhuwah.


Pelaksanaan AGM ini diharap dapat memperkukuh struktur kepimpinan Kelab Al-Mursyidin serta memperkasa peranan mahasiswa dalam membawa misi dakwah dan pembinaan sahsiah di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah barisan penasihat Kelab Al-Mursyidin, mantan pimpinan, serta para ahli yang sentiasa komited menjayakan agenda keislaman dan kebajikan mahasiswa di peringkat universiti.
