Gambar bersama Pelajar Baharu Kolej Ungku OmarGambar bersama Pelajar Baharu Kolej Ungku Omar

oleh : Nik Nureen Aeisya dan Syrelyn Misol 

Tanjong Malim, 12 Oktober 2025 – Semangat baharu dan jiwa kolej kembali membara apabila Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMK KUO) dengan penuh komitmen menganjurkan Program Orientasi “LEGASI KUO:MENTARA LAMBARU “MENTARI AURA, LANGKAH ALAM BARU” selama tiga hari iaitu pada 10 Oktober 2025 hingga 12 Oktober 2025 bertempat di Dewan Kolej Ungku Omar.

Program ini menjadi wadah utama dalam menyambut kedatangan penghuni baharu sesi 2025/2026, di samping memperkenalkan nilai, budaya serta identiti unggul Kolej Ungku Omar (KUO).

Berteraskan konsep kekeluargaan dan kepimpinan mahasiswa, program ini bukan sekadar acara sambutan semata-mata, malah menjadi simbol penyatuan generasi lama dan baharu dalam meneruskan legasi KUO yang penuh warna.

Slot Gelombang Kudrat
Slot KUO Vista: Langkah Pertama
Perang Dentak KUO

Aktiviti-aktiviti seperti Gelombang Kudrat, KUO Vista: Langkah Pertama, Perang Dentak KUO serta Temasya Sukan telah membangkitkan suasana penuh semangat, diiringi sorakan dan gelak tawa penghuni yang baharu mengenali dunia kolej.

Menurut ketua felo, ChM. Dr. Mohamad Saufi Rosmi dalam ucapan beliau, “penganjuran kali ini menekankan semangat perpaduan serta kekeluargaan dimana ia bukan sekadar kata tetapi menjadi tunjang kepada KUO untuk terus membentuk jati diri yang kukuh dalam diri penghuni kolej.

Legasi KUO ini juga merupakan satu platform yang bertepatan dengan semangat yang kita hidupkan bersama supaya dapat memberi ruang kepada pelajar baharu untuk lebih bersedia menghadapi dunia universiti yang mencabar.

Slot Temasya Sukan
Ucapan Ketua Felo, ChM. Dr. Mohamad Saufi bin Rosmi
Ucapan Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam bin Hj. Nasrifan

Program ini memberi peluang kepada setiap penghuni untuk mengenali satu sama lain, membina keyakinan, dan menanam rasa cinta terhadap KUO sebagai rumah kedua mereka,” ujar beliau.

Sepanjang tiga hari berlangsung, pelbagai slot menarik telah  memperlihatkan kehebatan dan semangat kesukanan setiap rumah.

Aktiviti ini bukan sahaja mencungkil bakat, tetapi turut menjadi platform untuk menyemai nilai kerjasama, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan penghuni.

Sorakan padu dari setiap pasukan mewarnai suasana kolej, mencerminkan keakraban yang mulai terjalin antara penghuni Kolej Ungku Omar.

Program ini turut memberi pendedahan kepada penghuni baharu mengenai peranan MMK sebagai badan kepimpinan yang mewakili suara mahasiswa di kolej.

Melalui sesi interaktif dan pengenalan rasmi, penghuni kini lebih memahami saluran komunikasi yang betul untuk menyuarakan pendapat dan cadangan terhadap pembangunan komuniti kolej.

Ia juga merupakan satu peluang kepada MMK untuk mencari bakat baharu demi membentuk pelapis hebat yang bakal menjadi pemimpin Kolej Ungku Omar pada masa akan datang.

Dalam ucapan penutupan, Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Hj. Nasrifan, menyampaikan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa pelaksana atas kejayaan menganjurkan program dengan penuh semangat dan tersusun.

Beliau menegaskan bahawa program seperti ini bukan sahaja memperkukuh jati diri mahasiswa, malah menyokong aspirasi Sustainable Development Goals (SDG) — khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti (SDG 4), pengurangan ketidaksamarataan (SDG 10), dan institusi yang kukuh (SDG 16).

Program ini telah berjaya membuktikan bahawa KUO bukan sekadar tempat penginapan, tetapi juga medan membina karakter, memupuk kepimpinan, dan menyemai semangat kekeluargaan dalam diri setiap penghuninya.

“Legasi KUO: Mentari Aura, Langkah Alam Baru” bukan sekadar orientasi — ia adalah permulaan kepada perjalanan baharu, di mana setiap langkah yang diambil menjadi sebahagian daripada legasi yang akan terus hidup di Kolej Ungku Omar”.