Oleh: Nur Amirah Batrisyia Shahrizal Anuar 

TANJONG MALIM, 10 OKTOBER 2025 — Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan  Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bergema dengan sorakan dan tepukan apabila  pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Semester 4 di bawah kursus Muzik dan  Pergerakan Kreatif mempersembahkan sebuah pementasan teater bertajuk “Teater Tangisan  Takhta.”

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Diploma Pendidikan Awal  Kanak-Kanak Sidang 2025/2026 sebagai manifestasi seni dan kreativiti mahasiswa dalam  bidang pendidikan awal kanak-kanak. 

Majlis ini dihadiri oleh Profesor Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, Dekan Fakulti  Pembangunan Manusia (FPM), Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Timbalan Dekan  Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), serta Dr. Seah Siok Peh,  Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Turut hadir Penasihat Teater, Puan Farhana Nohrin Mohd Anuar, yang menjadi tunjang dalam memberi bimbingan dan tunjuk ajar  sepanjang persiapan teater ini.

Program yang diketuai oleh Pengarah Teater, Muhammad Syah Arridha Irman Syah dan Nurain Aiyani Zakaria, berjaya menarik kehadiran lebih 1030  penonton yang terdiri daripada pensyarah, pelajar, ibu bapa serta masyarakat sekitar Tanjong  Malim dan Slim River yang hadir bagi menyaksikan hasil kerja seni mahasiswa/i UPSI.

Pementasan Teater Tangisan Takhta merupakan satu platform pembelajaran berasaskan  pengalaman sebenar yang menggabungkan tiga elemen utama iaitu Muzik, Pergerakan dan  Drama di bawah kursus Muzik dan Pergerakan Kreatif (KAQ1063) yang dipelajari semasa  semester ini.

Objektif utama program ini adalah untuk membangunkan kecekapan kendiri,  bakat, dan potensi pelajar atau bersama pelajar lain secara berterusan ke arah kecemerlangan dalam bidang pengurusan, pendidikan dan industri di samping meningkatkan kesedaran tentang  kepentingan muzik serta kreativiti dalam perkembangan kanak-kanak.

Pementasan ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak luar yang  membantu memperkukuh kualiti persembahan.

Antara yang terlibat ialah Shukri  Ishak dari Kolej Vokasional Kuala Kangsar selaku jurulatih utama kumpulan ukulele, serta  Kumpulan Pencak Silat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berperanan sebagai  jurulatih seni silat yang digunakan oleh pelakon utama.

Selain itu, dua orang senior iaitu  Muhammad Nur Afif Hakim Joha dan Dhiya’ Nazih Aniq Hishamuddin turut membantu  sebagai pembimbing teater bagi memastikan perjalanan pementasan berjalan dengan lancar dan  profesional. 

Dari sudut impak, pementasan ini memberikan peluang kepada mahasiswa/i untuk  mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam kursus Muzik dan Pergerakan Kreatif ke dalam  konteks dunia sebenar.

Melalui gabungan aktiviti seperti lakonan, muzik, tarian, pergerakan  dan ekspresi emosi, pelajar dapat memahami dengan lebih mendalam bagaimana elemen seni  dapat digunakan untuk menyokong perkembangan holistik kanak-kanak.

Pementasan ini juga  melatih pelajar mengurus persembahan, menyusun koreografi, mencipta muzik latar serta  menyampaikan mesej pendidikan secara kreatif selaras dengan pendekatan pembelajaran  berasaskan pengalaman (experiential learning) yang diterapkan sebagai strategi dalam  Pembelajaran Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Selain itu, program ini turut mencatatkan kejayaan luar biasa dengan penjanaan berjumlah  RM10,400 hasil daripada jualan tiket serta sumbangan penajaan daripada pelbagai pihak. 

Antara penaja yang memberi sokongan padu ialah Fakulti Pembangunan Manusia, Jabatan  Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Hanafi Homestay, Chit Chat Coffee, Kedai Gambar V Zoom  Tanjong Malim, Pensyarah-pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kiddytain,  Ratnawatu Aman, Tadika Tahfiz Al Tawfiq, ZAM Services, serta Sunan Concept.

Sumbangan  dan sokongan daripada penaja-penaja ini membolehkan program dilaksanakan dengan jayanya. 

Secara keseluruhannya, program ini berjaya membuktikan bahawa pelajar Diploma Pendidikan  Awal Kanak-Kanak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berupaya menjayakan projek  berskala besar secara profesional dan berintegriti.

Teater Tangisan Takhta bukan hanya sebuah  persembahan, tetapi lambang kesungguhan dan dedikasi mahasiswa/i dalam menggabungkan  ilmu, kreativiti serta nilai moral.